Mohamed Nazri (kiri) dan Lim (dua dari kiri) mendengar penjelasan Pengerusi Penganjur Festival Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (kanan) mengenai bangunan lama di pekarangan Masjid Acheh.
Mohamed Nazri (kiri) dan Lim (dua dari kiri) mendengar penjelasan Pengerusi Penganjur Festival Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (kanan) mengenai bangunan lama di pekarangan Masjid Acheh.

Georgetown: Masjid Melayu Acheh di sini, yang berusia 207 tahun bakal dijadikan bangunan warisan di negara ini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengujungi tempat bersejarah itu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan bersedia menjadikan masjid yang dibina pada 1808 itu sebagai bangunan warisan dan membiayai kos naik taraf rumah ibadat berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memastikan bangunan itu terus dipelihara bagi mengembalikan kemeriahan masjid berkenaan yang suatu ketika pernah menjadi destinasi tumpuan ilmuan dan lokasi kitab agama diterbitkan.

“Saya berharap kerajaan negeri mengisytiharkan masjid berkenaan sebagai warisan negeri supaya kementerian dapat menjadikan ia tapak warisan negara.

“Kerajaan juga bersedia membiayai kos baik pulih dan naik taraf masjid berkenaan termasuk bangunan sekeliling serta memastikan reka bentuk asal tidak akan diubah,” katanya berucap merasmikan Festival Sambutan Ulang Tahun Ke-207 Masjid Melayu Acheh, di Lebuh Acheh, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Pengerusi Penganjur Festival Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) Datuk Mansor Othman.

Mohamed Nazri berkata, melalui langkah itu, pelancong berpeluang melihat khazanah berharga milik masyarakat Islam di negara ini.

“Sudah menjadi kebiasaan masjid lama yang memiliki sejarah dan keunikan tersendiri mempunyai daya tarikan yang tinggi kepada pelancong untuk melihat keindahannya.

“Masjid ini sudah berusia lebih 200 tahun dan apabila bangunan berusia melebihi 100 tahun, ia adalah warisan negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:22 AM