Jahantab Ahmadi ketika menjawab peperiksaan menduduki universiti di Afghanistan yang tular di media sosial. - Agensi
Jahantab Ahmadi ketika menjawab peperiksaan menduduki universiti di Afghanistan yang tular di media sosial. - Agensi
Reuters

London: Gambar wanita Afghanistan meriba bayi ketika menduduki peperiksaan memasuki universiti mencetuskan kempen global membantunya menyambung pelajaran di negaranya.

Jahantab Ahmadi menarik perhatian dunia selepas pegawai di Universiti Nasir Khusraw di Nili, tengah Afghanistan, menyiarkan gambar wanita itu di media sosial, bulan lalu.

Ia menunjukkan Ahmadi meriba bayinya sambil menjawab peperiksaan.

Imej itu menyentuh Persatuan Belia Afghanistan (AYA) yang beribu pejabat di Britain yang memulakan kempen GoFundMe untuk membantu Jahantab dan setakat ini mengumpul hampir AS$15,548 (RM60,191).

Menurut kumpulan itu, wang berkenaan akan diberi kepada Jahantab yang mendapat tempat di Universiti Kabul.

“Ia memberi ilham kepada ramai orang dan berharap memberi motivasi kepada wanita lain.

“Jika mereka komited, tiada apa boleh menghalang mereka.

“Melalui bantuan ini, diharap dapat membantu wanita lain pula pada masa depan,” kata setiausaha AYA, Shokryah Mohammadi.

Mohammadi berkata, AYA berhubung dengan Jahantab yang mempunyai tiga anak, termasuk bayi dua bulan yang diribanya.

Suami wanita itu yang dilaporkan buta huruf dipuji di media sosial kerana menyokong isterinya di negara yang wanitanya hanya terperuk di rumah. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:14 AM