PETIKAN rakaman aksi ‘superman’ sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim. FOTO Ihsan Facebook Syahril A Kadir
PETIKAN rakaman aksi ‘superman’ sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim. FOTO Ihsan Facebook Syahril A Kadir
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS menahan tiga daripada sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'superman' di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim selepas aksi berbahaya mereka tular di laman sosial.

Aksi meniarap di atas motosikal dengan kedua-dua kaki lurus ke belakang yang dipercayai dilakukan pada 1.15 tengah hari Ahad lalu ditularkan pemilik Facebook menggunakan nama Syahril A Kadir.

Dalam statusnya, Syahril memuatnaik gambar berserta status “Mereka rasa mereka terlalu hebat. Mereka rasa mereka adalah Raja Lebuhraya. Mereka rasa malaikat maut masih jauh jaraknya dari mencabut nyawa mereka.

“Mereka rasa mereka kebal dari undang-undang. Mereka tak hirau langsung nyawa pengguna jalan raya yang lain. Yang mereka tahu semua orang mesti hormat dan takut sama mereka. JOM VIRALKAN.”

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mereka berusia 21 hingga 24 tahun itu ditahan oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di tiga lokasi berbeza di Bukit Mertajam, 2 petang semalam.

Menurutnya, anggota JSPT IPK Pulau Pinang yang menerima maklumat mengenai tindakan kumpulan itu melalui Facebook milik Syahril A Kadir berjaya mengesan suspek berpandukan nombor pendaftaran motosikal digunakan.

Katanya, polis kemudian melakukan serbuan dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah sebelum kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengaku terbabit dalam gambar yang ditularkan itu.

“Beberapa rampasan barang kes turut dilakukan antaranya tiga helmet berwarna biru dan putih, tiga jaket lengan panjang berwarna kelabu dan merah, tiga seluar jeans berwarna biru, tiga kunci motosikal dan tiga pasang kasut," katanya dalam kenyataannya, sebentar tadi.

Wan Kamarul Azran berkata, perintah reman sudah dikeluarkan Mahkamah Majistret Slim River selama empat hari bermula hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, polis juga sedang menjalankan operasi bagi mengesan suspek lain yang terbabit dan meminta pemilik facebook berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 9:26 PM