SEORANG pendatang menunjukkan dokumennya ketika menunggu bersama ratusan yang lain untuk mendaftar di Pejabat Hal Ehwal Kesihatan dan Sosial, Berlin.
SEORANG pendatang menunjukkan dokumennya ketika menunggu bersama ratusan yang lain untuk mendaftar di Pejabat Hal Ehwal Kesihatan dan Sosial, Berlin.
Reuters

Berlin: Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, dia mahu mengurangkan jumlah pelarian yang masuk ke negara itu ‘secara drastik’ seterusnya menunjukkan kesediaan berkompromi dengan pengkritik terhadap polisi terbukanya menerima golongan itu sebelum ini.

Angela sebelum ini tidak mengendahkan tekanan oleh anggota partinya sendiri, Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) supaya menghentikan kemasukan pelarian ke Jerman yang dijangka mencapai sejuta orang tahun ini.

“Pada masa sama, kami mengambil kira kebimbangan orang ramai mengenai keadaan pada masa depan.

“Ini bererti kami mahu mengurangkan secara drastik jumlah orang yang datang ke sini,” katanya kepada badan penyiar ARD.

Angela, yang popularitinya merudum akibat krisis pelarian itu berkata, pendekatan dicadangkannya menerima sokongan kuat dalam CDU dan akan dibincangkan pada kongres parti.

Ia turut termasuk membincangkan kerjasama dengan Turki untuk menangani penyeludup manusia, memperbaiki keadaan di kem pelarian Syria di Turki, Lubnan serta Jordan, selain memperkuat kawalan sempadan Kesatuan Eropah (EU).

Pengkritik berhaluan konservatif mahu jumlah pelarian dikurangkan sebelum pilihan raya kecil di tiga negeri, Mac depan.

Golongan itu turut meramalkan Angela mungkin gagal dalam usaha bertanding untuk penggal keempat pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:05 AM