FATHIA Latiff. FOTO Muhd Alif Awan
FATHIA Latiff. FOTO Muhd Alif Awan
Ramlah Zainal

Kontroversi yang melanda bukan penghalang buat pelakon popular Fathia Latiff untuk bangkit kembali mengukuhkan namanya.

Menurut pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Ariana Rose ini, dia sangat bersyukur kerana teman rapat dan ahli keluarga memberi sokongan padu kepadanya apabila berdepan pelbagai ujian.

“Alhamdulillah, saya juga kuat kerana sokongan daripada orang sekeliling yang sangat memahami diri ini. Saya juga sudah bersedia kembali menyemarakkan bidang seni tanah air tahun ini,” katanya.

Fathia berkata, dia juga terharu kerana masih ada penerbit yang memberi kepercayaan kepadanya dalam bidang lakonan.

“Hampir setahun tidak berlakon, saya dilamar penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh untuk berlakon dalam projek drama terbarunya.

“Penggambaran drama bersiri ini dijangka berlangsung bulan depan ,” katanya.

Mengenai wataknya pula, kata Fathia, dia juga ditawarkan watak heroin dalam drama bersiri 17 episod untuk stesen RTM itu.

“Watak saya juga menarik kerana ia wanita yang pura-pura alim dalam cerita ini. Idris Khan juga dijangka menjadi hero dalam cerita ini,” katanya.

Fathia juga berjanji memberikan komitmen terbaik dalam drama berkenaan.

FATHIA Latiff. FOTO Muhd Alif Awan
FATHIA Latiff. FOTO Muhd Alif Awan

“Saya berharap lakonan mantap dalam drama itu akan membuktikan kepada semua pihak mengenai kemampuan dalam lakonan.

“Saya juga berharap ia turut membuka mata pihak stesen TV yang seolah-olah menyenarai hitam nama saya ketika ini,” katanya.

Bakal muncul dengan single

Selain lakonan, Fathia juga meminati bidang nyanyian sejak dulu.

Bakat nyanyiannya juga semakin mendapat perhatian menerusi lagu Sakit yang dinyanyikan semula dan dimuat naik anggota kumpulan IAmNeeta, Patrick Anahoda di YouTube sebelum ini.

Bagi Fathia, sambutan hangat yang diterima daripada peminat menyuntik semangat buatnya untuk menggapai impian bergelar penyanyi.

“Saya memang membesar dengan lagu R & B sejak dulu. Sebab itu saya juga merancang menghasilkan single genre R & B tidak lama lagi.

“Mengikut perancangan, single saya ini akan mendapat sentuhan komposer DJ Fuzz. Pada masa sama, saya juga akan mengikat kontrak di bawah pengurusan Mixology Music milik DJ Fuzz,” katanya.

Selain lagu Sakit, Fathia juga pernah menyanyikan semula dua lagi lagu iaitu New Rules dan I Can’t Help Falling In Love yang turut mendapat sambutan ramai di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 5:28 AM