RANCAK promosi single pertama Keluarkan Aku dilancarkan April lalu.
RANCAK promosi single pertama Keluarkan Aku dilancarkan April lalu.
Ramlah Zainal


Kontroversi yang melanda sebelum ini mematangkan dirinya dalam meniti pahit getir hidup anak seni.

Bagi pelakon popular Fathia Latiff sampai masanya dia bangkit untuk mengukuhkan namanya di persada seni tanah air.

“Cukup-cukuplah cerita sensasi, kontroversi dan kisah cinta yang dijaja sebelum ini.

“Sudah terlalu banyak masa saya terbuang dan sia-sia begitu saja sekali gus mencalar reputasi.

“Kini, sampai masany saya fokus untuk mengukuhkan nama dalam karier sekali gus mengembangkan kerjaya seni termasuk sebagai penyanyi,” katanya.

Di sebalik kontroversi yang melanda, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff, 31, bersyukur kerana bakatnya dalam bidang nyanyian mendapat perhatian pengikut di laman sosial.

Walaupun sekadar menyanyikan semula lagu artis lain, bakat Fathia tetap mencuri tumpuan netizen. Antaranya, lagu Sakit yang dinyanyikan semula olehnya dan dimuat naik anggota kumpulan IAmNeeta, Patrick Anahoda serta muzik video lagu balasan Di Matamu, Sufian Suhaimi dendangannya bersama penyanyi Hez Hazmi yang dimuat naik di YouTube juga mendapat hampir 200,000 tontonan.

“Saya gembira dengan sambutan memberansangkan peminat di laman sosial. Justeru, bila tiada tawaran berlakon, saya beralih untuk memberi tumpuan pada bidang nyanyian yang diminati sejak dulu.

“Jika dulu mungkin orang fikir saya main-main dalam bidang nyanyian tetapi kini saya serius dan sanggup mencari penaja untuk pembikinan muzik video,” katanya.

Fathia juga percaya tidak cukup sekadar pendedahan di media sosial jika mahu berjaya dalam bidang nyanyian.

“Sebab itu, saya merancang untuk mengikuti kelas vokal dengan penyanyi Amylea Azizan tidak lama lagi. Selain kelas vokal, saya juga berlatih bermain gitar.

“Setakat ini, saya ada menerima undangan persembahan dalam negara, Brunei dan Singapura,” katanya.

Terbaru, Fathia rancak mempromosikan single pertamanya berjudul Keluarkan Aku ciptaan Dj Fuzz dan Wawa, manakala liriknya oleh Waris yang dilancarkan April lalu.

“Lagu Keluarkan Aku ini menceritakan perjalanan hidup dan apa yang dirasai selama ini.

“Saya juga gembira dengan sambutan positif daripada peminat ketika ini.

“Selepas single Keluarkan Aku, saya merancang untuk menghasilkan single baru bersama Patrick Anahonda. Kali ini lagu berentak perlahan pula,” katanya.

Mengenai pengurusan pula, Fathia tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat lagi.

“Sebelum ini ada syarikat rakaman menawarkan kontrak tetapi saya tidak bersedia ketika itu.

Terdahulu, Fathia juga pernah membuat rakaman semula lagu Can’t Help Falling In love dan New Rules (Dua Lipa).

Menanti tawaran berlakon

Walaupun bakat nyanyiannya meraih perhatian di media sosial, cinta Fathia terhadap bidang lakonan tidak pernah pudar.

Pelakon yang menempa nama menerusi drama Ariana Rose ini mengakui sedang menanti tawaran projek drama.

“Kali terakhir saya berlakon ialah drama seram Matilah Nak yang sudah ditayangkan di saluran Astro pada Aidilfitri lalu.

“Mungkin kerana nama pernah terpalit kontroversi sebelum ini, masih ramai takut untuk mengambil saya berlakon.

“Hakikatnya, saya bukan lagi Fathia yang dulu dan kini serius untuk menggilap bakat dalam bidang lakonan,” katanya.

Ditanya mengenai lakonannya dalam drama Matilah Nak, kata Fathia, ada beberapa babak dipotong tanpa pengetahuannya.

“Ada orang yang mempersoalkan kenapa wajah pelakon lain yang muncul di mana babak itu sepatutnya dilakonkan oleh saya.

“Saya sendiri tiada jawapan untuk itu. Sedangkan saya sudah menjiwai karakter dengan baik seperti dikehendaki skrip dan berada di lokasi drama seperti dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Fathia, masih ada pihak mempercayainya untuk menggalas tugas sebagai jurucakap produk bersandarkan jumlah pengikut yang tinggi di Instagram.

“Setakat ini ada beberapa pihak berminat mengambil saya sebagai duta produk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 8:43 AM