FATHIA akal muncul dengan single solo pertama ciptaan sendiri berjudul Jika Aku Tahu.
FATHIA akal muncul dengan single solo pertama ciptaan sendiri berjudul Jika Aku Tahu.
Rudy Imran Shamsudin


BUKAN satu kesilapan atau cuba menjual nama selepas terkait dengan kontroversi sehingga kerjaya lakonan dilihat suram. Sebaliknya, dramatis terkenal, Fathia Latiff sememangnya berbakat dalam bidang penciptaan lagu dan nyanyian.

Perkara itu dinyatakan sendiri penerbit, Anas Amdan juga abang kepada penyanyi dan komposer muda, Aizat yang bertindak menerbitkan single solo pertama Fathia, Jika Aku Tahu yang bakal dilancarkan bulan depan.

Meneliti pembikinan lagu ini di studio Kasi Gegar Entertainment milik Aizat baru-baru ini, ternyata Fathia serius apabila banyak berbincang dan menuruti segala pandangan diberikan, penjaga vokalnya juga penyanyi ‘versatile’, Bob AF mahupun Aizat sendiri yang menjadi pembantu kepada Anas.

Anas ternyata terkejut dengan kemampuan Fathia dalam penciptaan lagu dan menganggap karya sulung dihasilkan pelakon utama drama Ariana Rose itu agak baik.

Anas ketika ditemui berkata, sewaktu dia diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan Jika Aku Tahu oleh Pengarah Urusan Indigital Sdn Bhd, Rozalina Mohamad Rom, dia tidak diberitahu melodinya dihasilkan Fathia.

“Saya mendengar dengan teliti dan berasa lagu itu melodinya agak baik. Bayangkan apa yang saya terima itu sangat ‘mentah’ hanya petikan gitar dan nyanyian bersahaja. Karyanya saya sifatkan lahir dari hati dan begitu jujur,” katanya.

Menurut Anas, apa yang dilakukan Fathia adalah bagus kerana percubaan pertama itu datang daripada dia sendiri.

“Cuma bab nyanyian itu pada peringkat awal banyak yang perlu diperbaiki. Bagaimanapun, apabila Bob diberikan tugas untuk menjaga vokal dan sewaktu mengajarnya, Fathia cepat menangkap. Walaupun bukan penyanyi, tak bermakna Fathia tidak boleh menyanyi.

“Sebelum ini Fathia tidak tahu kemampuan dirinya dan sejauh mana vokalnya boleh pergi. Namun, apabila menyanyi, nadanya tidak pernah lari. Kelebihan yang ada pada Fathia itu menyebabkan kerja rakaman menjadi bertambah mudah,” katanya.

Anas berkata, sebelum rakaman dilakukan, dia dan Fathia terlebih dulu menjalani sesi latihan beberapa kali terutama bagi memastikan pelakon jelita itu tidak berasa canggung apabila proses rakaman sebenar dilakukan.

“Fathia tidak pernah mempunyai pengalaman menjalani sesi rakaman secara solo, jadi penting untuk saya membiasakan dirinya dengan kerja di studio supaya dia faham dan selesa.

“Apabila keselesaan itu diperoleh secara tidak langsung ia membantu Fathia untuk menghayati lagu dihasilkan apabila mendendangkannya,” katanya.

Sementara itu, Bob bersetuju dengan Anas bahawa Fathia mampu menyanyi dengan baik walaupun dia bukan penyanyi profesional.

“Disebabkan dia bukan penyanyi sepenuh masa, pasti ada perkara yang saya perlu tekankan kepada Fathia supaya dia mampu memberikan vokal mengikut ‘mood’ lagu yang muziknya sudah disusun oleh Anas.

“Pada saya, Fathia mudah dilentur ini kerana dia juga selalu menyanyi walaupun tidak secara serius. Sepanjang proses pembikinan lagu ini, saya cuba menerapkan penyampaian secara teknikal supaya apabila dia menyanyi secara langsung, ia tidak akan memberikan masalah kepadanya dan Fathia akan lebih yakin mendendangkannya nanti,” katanya.

BERSAMA Aizat (kiri) dan Bob di studio rakaman.
BERSAMA Aizat (kiri) dan Bob di studio rakaman.

‘DULU TIADA SIAPA YAKIN NYANYIAN SAYA’

Fathia yang sebelum ini pernah merakamkan lagu duet bersama Shukri Yahaya berjudul Tak Pernah untuk runut bunyi drama Dia Isteri Luar Biasa rasa bertuah dan berterima kasih apabila pihak Indigital Sdn Bhd mahu merealisasikan impiannya menjadi penyanyi.

Fathia berkata, sudah lama dia mencipta lagu Jika Aku Tahu dan mengedarkan demo rakaman kepada pihak berkaitan, tetapi tiada siapa yakin bakat nyanyiannya.

“Akhirnya sudah tertulis rezeki saya bersama Indigital. Saya seronok apabila diberikan peluang menjadi penyanyi dan melebarkan bakat dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Fathia berkata, sepanjang proses pembikinan lagu itu, dia terharu kerana dapat bekerja dengan mereka yang punya nama besar dalam industri muzik tempatan seperti Anas, Bob dan Aizat.

“Saya dapat rasakan perbezaannya berbanding bekerja dalam bidang pembikinan drama dan filem. Apabila diberitahu saya akan bekerja dengan mereka bertiga ini, saya jadi kecut perut dan gementar. Bagaimanapun, ternyata Anas, Bob dan Aizat sangat ‘sempoi’. Mereka membuatkan saya sangat selesa untuk bekerja.

“Proses rakaman lagu Jika Aku Tahu sangat menyeronokkan dan tersusun. Paling penting banyak ilmu yang saya peroleh sepanjang proses itu,” katanya.

Menurut Fathia, Anas, Bob dan Aizat banyak berkongsi ilmu dengannya.

“Contohnya Bob, walaupun tugasnya hanya menjaga vokal, dia tetap berkongsi segala ilmu yang dia ada untuk saya amalkan supaya nyanyian bertambah baik dan bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:30 AM