TIZ Zaqyah
TIZ Zaqyah
Ramlah Zainal


NAMANYA pernah meniti puncak populariti menerusi watak Nur Amina dalam drama bersiri Nur Kasih yang pernah mencetuskan fenomena pada 2009.

Menerusi gandingan mantap dengan Remy Ishak dalam drama bersiri Itu, Tiz Zaqyah, 31, juga dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-23.

Bukan saja drama bersiri, Tiz turut membuai emosi penonton menerusi Nur Kasih versi filem yang ditayangkan pada 2011.

Selepas Nur Kasih, Tiz seolah-olah menyepikan diri daripada bidang lakonan.

Namun, namanya kembali meraih perhatian peminat menerusi drama bersiri Isteri Bukan Untuk Disewa pada Oktober tahun lalu.

Malah, lakonan mantap dalam drama bersiri itu juga turut menobatkan Tiz sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Telenovela 2019, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar, Siti Zaqyah Abdul Razak, 31, ini juga bersyukur kerana rezekinya murah dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah dalam lakonan selepas berehat panjang sebelum ini.

“Selepas Nur Kasih, saya akui populariti naik mendadak dan usia pula masih remaja ketika itu. Justeru, selepas berehat panjang kerana mencari hala tuju sebagai anak seni, saya kembali menyemarakkan bidang lakonan pada tahun lalu,” katanya.

Ternyata kemunculan semula Tiz tepat pada masanya apabila ditawarkan beraksi dalam drama bersiri 30 episod Sara Sajeeda yang bersiaran di Slot Samarinda TV3, tahun ini.

Dalam drama arahan Eoon Shuhaini terbitan Zeel Productions itu, Tiz bergandingan dengan pelakon meningkat naik dari Pakistan, Arslan Asad But dan Anmol Baloch.

TIZ bersama peminat yang meraikan ulang tahun kelahirannya ke-31.
TIZ bersama peminat yang meraikan ulang tahun kelahirannya ke-31.

“Saya menimba pengalaman berbeza berlakon dengan kru produksi ketika penggambaran di Pakistan. Saya juga bersyukur kerana drama bersiri ini yang membabitkan gabungan pelakon Malaysia dan Pakistan mendapat sambutan hangat penonton,” katanya.

Bagaimanapun, kata Tiz, sudah sampai masanya dia lebih memilih naskhah yang ditawarkan selepas sedekad dalam lakonan.

“Selain watak, saya juga memilih dari segi jalan cerita. Saya mahukan kelainan dan tidak mahu penonton berasa bosan dengan lakonan. Contohnya, saya melakonkan watak antagonis dalam projek drama baru bersiri Setelah Aku Dimiliki dan cerita seram dalam drama untuk Astro,” katanya.

Dalam pada itu, Tiz juga ditawarkan projek khas untuk saluran Viu, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mencuba nasib di peringkat antarabangsa.

“Selain projek siri untuk Viu, saya juga mahu terbabit dalam projek Netflix kerana mahu keluar dari zon selesa. Saya juga ada dapat tawaran berlakon filem tahun depan tetapi masih dalam perbincangan lagi,” katanya.

Rai ulang tahun bersama kelab peminat

Sebagai selebriti, Tiz mengakui dia mampu bertahan dalam bidang seni kerana sokongan peminat setianya sejak dulu.

Justeru, sesibuk manapun, Tiz tetap meluangkan masa untuk menjayakan aktiviti bersama kelab peminatnya, Tiz Zaqyah Razak Fan Club sejak 10 tahun lalu.

Terbaru, Tiz meraikan ulang tahun kelahiran ke-31 bersama kelab peminatnya di Diva Karaoke Setia City Mall, Sabtu lalu.

“Kelab peminat ini ditubuhkan sejak 10 tahun lalu sejak impak drama bersiri Nur Kasih. Bidang seni ada pasang surutnya tetapi peminat setia kenal siapa saya dan sentiasa berdiri di belakang sejak dulu. Justeru, saya sangat menghargai peminat setia sejak dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:20 AM