Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkenaan insiden pelajar perempuan maut akibat terkena bilah traktor mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Seremban, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, ketika ini JPN juga masih menyiasat apa aktiviti yang dijalankan sehingga menyebabkan kejadian itu.

“JPN sudah menetapkan peraturan bagi kontraktor menjalankan kerja pembersihan di setiap sekolah termasuk waktu dan situasi yang sesuai.

“Ini yang kita nak siasat sama ada kontraktor ini mendapat kebenaran atau sebaliknya untuk memotong rumput di padang sekolah itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong dua dipercayai selepas terkena bilah berkenaan.

Dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula hanya mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

Berita berkaitan

Ajal pelajar terkena bilah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 4:53 PM