Traktor yang digunakan di  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas. FOTO NSTP
Traktor yang digunakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas. FOTO NSTP
Nazura Ngah; Hidir Reduan; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Veena Babulal; Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Suhael Adnan


PAMPASAN daripada kontraktor kepada waris pelajar perempuan yang meninggal dunia selepas terkena bilah pisau mesin rumput, hanya dapat ditentukan selepas selesai siasatan polis.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, siasatan polis itu akan menentukan sama ada pihak kontraktor bertanggungjawab dalam tragedi berkenaan atau sebaliknya.

"Perkara itu (pampasan daripada kontraktor) tertakluk pada siasatan polis. Apabila siap semua siasatan, baru kita tahu siapa yang perlu bertanggungjawab.

"Buat masa ini, kementerian sudah menyerahkan pampasan insurans takaful berjumlah RM5,500 kepada keluarga mangsa pada 23 Februari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya sama ada pihak kontraktor sudah memberi pampasan kepada waris mangsa, serta sama ada wujud larangan daripada kementerian berhubung kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan semasa pelajar berada di kawasan padang.

Pada 13 Februari lalu, Nur Afini Roslan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, meninggal dunia selepas sebahagian kepalanya putus terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor.

Pada 3 Mac lalu, Sin Woon dilaporkan berkata hasil siasatan dan tindakan kementerian berhubung tragedi itu akan diketahui dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Mengulas lanjut soalan Siew Fook, Sin Woon, berkata pekeliling yang dikeluarkan kementerian sememangnya menyatakan semua kerja penyelenggaraan, termasuk memotong rumput, perlu dilaksanakan dalam suasana tiada murid sama ada sebelum atau selepas waktu sekolah.

"Kementerian telah mengeluarkan satu lagi surat peringatan berkaitan kepentingan pengurusan keselamatan murid di sekolah pada 28 Februari lalu kepada semua sekolah.

"Surat itu bagi mengingatkan semula kepada semua pentadbir sekolah bahawa kecuaian membabitkan keselamatan dan kepentingan murid adalah bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Kita juga akan melihat semula kontrak (penyelenggaraan sekolah) yang akan mengingatkan kontraktor supaya mengambil tindakan terbaik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Kita dalam peringkat mengambil tindakan," katanya.

Berita berkaitan

Siasatan tragedi bilah mesin pemotong rumput akan diumum [METROTV]

Trauma tengok traktor

Kementerian Pendidikan belum terima laporan

[UPDATE] Pemandu traktor mesin rumput ditahan

Allahyarham cucu saudara Rabuan Pit, aktif sukan memanah

'Kakak kawan bermain, bergaduh saya'

Ajal pelajar terkena bilah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:53 AM