Raja Noraina Raja Rahim


KEPUTUSAN siasatan Kementerian Pendidikan berhubung tragedi pelajar perempuan maut terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas akan diketahui dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya sudah menerima hasil siasatan beberapa pihak termasuk polis dan sekolah berhubung kejadian itu dan sedang menelitinya.

"Kita (kementerian) menggabungkan semua hasil siasatan berkenaan untuk diteliti terlebih dahulu, dan seterusnya melihat apa tindakan yang boleh diambil.

"Kemudian, kita akan umumkan (keputusan siasatan penuh) dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini," katanya pada sidang media pada Program Budayakan Hidup Lestari Mendaki Bukit Melati di Nilai, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, 13 Februari lalu, pelajar tingkatan dua, Nur Afini Roslan, 14, maut selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor di padang sekolah ketika menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan.

Dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula cedera ringan dalam kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Sin Woon berkata, ada segelintir ibu bapa terlalu melindungi anak sehingga menimbulkan masalah apabila keluar berdepan dengan masyarakat atau perlu menjalani aktiviti lasak.

"Sekarang ini, ibu bapa terlalu melindungi anak umpama berlian dengan tidak membenarkan anak terbabit aktiviti luar sehingga anak menjadi lemah dan mudah mengalah kerana tidak dilatih menjadi cekal.

"Sewajarnya ibu bapa membiarkan anak bergiat aktif dengan aktiviti termasuk bersukan supaya mereka lebih lasak dan bergaul dengan masyarakat untuk meningkatkan keyakinan diri," katanya.

Pada program anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Nilai itu, pelbagai aktiviti termasuk pertandingan kraftangan diadakan dan disertai oleh 700 peserta terdiri penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) serta penuntut institusi pengajian tinggi.

Berita berkaitan

Trauma tengok traktor

Kementerian Pendidikan belum terima laporan

[UPDATE] Pemandu traktor mesin rumput ditahan

Allahyarham cucu saudara Rabuan Pit, aktif sukan memanah

'Kakak kawan bermain, bergaduh saya'

Ajal pelajar terkena bilah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 4:48 PM