Parang yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
Parang yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
Farah Suhaidah Othman


LELAKI mengamuk menghayun dua parang di rumahnya di Jalan Leong Boon Swee, Ipoh, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias berkata, dalam kejadian 5 petang itu, suspek, 36, bersama ibunya, 56, dalam rumah berkenaan.

"Bimbang dengan keselamatan diri, ibu suspek membuat laporan di Balai Polis Daerah Ipoh sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian," katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Balai Polis Pasir Putih, hari ini.

Beliau berkata, sebaik anggota polis tiba di rumah suspek, mendapati kedua-dua tangan suspek memegang parang sepanjang 70 sentimeter (cm) dan 72 cm.

"Anggota polis cuba memujuk suspek untuk meletakkan senjata dipegangnya namun lelaki itu lari menuju ke Sungai Pari sambil diekori polis.

"Polis mengambil masa kira-kira satu jam setengah memujuk suspek dan berlaku sedikit pergelutan ketika cuba menahan suspek," katanya.

Abdul Rani berkata, polis menahan suspek pada 7 malam sebelum dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu kes jenayah dan dua kes dadah.

"Suspek pernah dua kali ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dekat sini kerana masalah mental.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 11:30 AM