Hamzah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh wanita hamil yang juga majikannya di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, 10 tahun lalu. FOTO Abdullah Yusof
Hamzah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh wanita hamil yang juga majikannya di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, 10 tahun lalu. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEKERJA sebuah resort di Pulau Pangkor dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh wanita hamil yang juga majikannya di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Hamzah Osman, 28, yang ketika kejadian bekerja sebagai pengemas bilik di resort berkenaan didapati bersalah membunuh Norazuda Iden, 31, di bilik 202, Suria Beach Resort, kira-kira 1 pagi, 18 Ogos 2008 dengan menggunakan sebatang kayu.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam M Manoharan.

Seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan manakala tertuduh diberikan tiga pilihan iaitu keterangan bersumpah, tidak bersumpah atau berdiam diri sebelum memilih untuk berdiam diri.

Anselm Charles berkata, dalam kes itu, mahkamah hanya ada satu hukuman tanpa pilihan dan tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum ini pada 24 Oktober 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas Hakim Datuk Adzam Abd Ghani mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut seksyen sama.

Namun Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac 2017 memerintahkan untuk diadakan bicara semula berikutan tiada pemeriksaan mental terhadap tertuduh dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 5:11 PM