SYARAFI dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Supian Ahmad
SYARAFI dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Mahkamah Tinggi Taiping, hari ini memerintahkan tukang masak membela diri atas pertuduhan membunuh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Februari tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Zaini Mazlan mengarahkan Syarafi Abu, 26, membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nur Syuhada Johari, 20, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang di Kilometer 228.2, Lebuhraya PLUS dekat Bukit Gantang, 2 Februari 2015 kira-kira 11.55 pagi.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah manakala peguamnya Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memaklumkan sebanyak dua saksi akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes pembelaan.

Mohamed Zaini kemudiannya menetapkan 13 Disember ini untuk perbicaraan kes pembelaan dan pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Mohd Amril Johari dan Mohd Azrul Faidz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:34 AM