KALAU boleh lelaki jadi pasangan hidup bukan dari kalangan orang seni.
KALAU boleh lelaki jadi pasangan hidup bukan dari kalangan orang seni.
HM Digital

Sudah lumrah bergelar artis, pasti kisah kehidupan peribadi sering menjadi perhatian ramai. Oleh itu, tidak hairanlah ada peminat yang sanggup mengikuti perkembangan artis itu walaupun di luar aspek kerjaya seni mereka termasuk kisah cinta.

Tidak dapat dinafikan, soal hati antara yang acap kali diajukan kepada pelakon drama bersiri popular Abang Bomba I Love You ini, Amira Othman. Bahkan, hingga ke hari ini, ada yang masih tertanya-tanya mengenai kisah cinta anak seni berusia 25 tahun ini.

Bukan tidak pernah terkait dengan gosip cinta, namun wanita ini menganggap itu semua sebagai usikan manja dan boleh dikatakan sudah menjadi kelaziman mereka yang bertapak dalam industri hiburan tanah air.

Namun, apa yang patut dipuji anak kelahiran Johor Bahru ini, dia tidak pernah cepat melatah dengan pelbagai gosip cinta yang adakalanya membuatkan dia tersenyum kerana tahu kebenarannya.

“Jujur saya belum memiliki teman istimewa. Belum ada lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati ini. Itulah kadang-kadang apabila orang cuba kaitkan saya dengan mana-mana individu, saya rasa hairan.

“Adakalanya, saya terfikir macam mana mereka boleh menganggap wujud hubungan cinta sedangkan kami sekadar berkawan,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini, dia tidak pernah menolak soal jodoh. Jika sudah tiba masanya, katanya, tiada alasan untuk dia mengetepikan takdir yang sudah ditentukan.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah mempunyai perancangan sendiri mengenai masa depannya untuk membina kehidupan berumah tangga suatu hari nanti.

Biarpun bergelumang dalam industri hiburan tanah air, kata Amira, jika boleh dia mahukan jejaka yang bukan dalam lapangan seni sama.

“Kalau boleh, saya mahu elakkan orang yang sama dalam industri seni tanah air. Bagaimanapun, kalau sudah tertulis jodoh dengan insan seni saya tetap reda. Orang kata, apa yang kita tidak mahu itulah yang kita akan dapat nanti,” katanya.

Barangkali ada yang melihat pasangan dalam satu lapangan lebih mudah kerana saling memahami ragam kerja masing-masing, namun tidak pada kaca mata Amira.

Ini kerana pelantun lagu Jaga-Jaga itu mempunyai alasan tersendiri. Tidak segan mengakui dirinya kuat cemburu, Amira meletakkan faktor terbabit sebagai penyebab utama dia enggan pasangan hidup dalam lapangan sama.

“Bukan apa, kalau nak tahu, saya memang seorang yang kuat cemburu. Jadi, atas sebab itulah kalau boleh biarlah teman hidup itu bukan pelakon atau penyanyi.

“Bimbang pula, saya asyik cemburu saja nanti. Maklumlah wanita memang lumrahnya ada perasaan sebegitu, beremosi sedikit,” katanya.

Kata Amira, dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga pada usianya mencecah 27 tahun nanti.

“Kalau bertemu individu sesuai, saya bercadang menamatkan zaman bujang.

Orang kata tempoh bertunang itulah yang banyak dugaan. Menurut ibu bapa saya, kalau boleh terus saja bernikah kerana itu lebih senang,” katanya.

Amira juga tidak mahu terburu-buru apabila menyentuh soal hati.

Baginya, ada banyak lagi perkara lain yang perlu diberikan perhatian terlebih dulu. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh perihal kerjaya seninya yang kian menuju puncak.

Selepas meletakkan dunia lakonan pada tahun ini sebagai laluan utama dalam cabang seni diterokainya, Amira mahu kembali tampil dengan naskhah baru selepas sekian lama lagu Hati-Hati dan Jaga-Jaga mendapat tempat di hati pendengar.

“Buat masa ini, saya berhenti rehat daripada lakonan kerana mahu memberikan fokus semula kepada nyanyian. Bimbang juga kalau orang ingat saya sudah tidak mahu menyanyi. Bagaimanapun, jika ada watak bersesuaian, insya-Allah, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Terbaru, Amira bakal mempertaruhkan single terbarunya berjudul Mimpi Indah.

“Mimpi Indah adalah bingkisan yang cukup istimewa kerana dihasilkan teman baik saya sendiri yang juga komposer dan penyanyi Hael Husaini,” katanya. - Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:32 AM