AMIRA Othman kini mempertaruhkan single Sampan Mimpi kepada peminat.
AMIRA Othman kini mempertaruhkan single Sampan Mimpi kepada peminat.
Norhayati Nordin

MESKIPUN seangkatan dengan Nabila Razali dan Hael Husaini yang bersaing di pentas Akademi Fantasia (AF) 2013 lalu, namun karier nyanyian Amira Othman tidaklah sehebat dan serancak dua rakan baiknya itu.

Tetapi, wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Johor ini sama sekali tidak berasa cemburu, malah berusaha dengan caranya sendiri apabila terus muncul menghasilkan beberapa single baharu.

Dua bulan lalu, Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman juga hadir melancarkan single baharu berjudul Sampan Mimpi ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penyanyi, Amir Jahari yang bergenre balada.

Menurut Amira, dia gembira bekerjasama dengan Amir dan berpuas hati terhadap lagu Sampan Mimpi dihasilkan oleh pemenang juara Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38) itu kerana menggambarkan harapan perjalanan karier yang masih jauh.

"Lagu Sampan Mimpi ini amat menepati cita rasa saya, termasuk penulisan liriknya yang puitis. Bagi saya, Amir layak digelar 'seniman sejati' kerana karya lagunya amat terbaik serta dia faham apa diinginkan seorang penyanyi.

"Saya amat berterima kasih dengan Amir kerana sudah menciptakan lagu Sampan Mimpi itu untuk saya. Apa yang diharapkan agar lagu ini mendapat sambutan pendengar dan mesra radio," katanya.

Amira yang sebelum ini pernah popular dengan lagu Hati-Hati dan Jaga-Jaga berkata, dia sangat yakin dengan rezeki serta menyerahkan segalanya kepada ketentuan Yang Esa dan pilihan peminat atau pendengar.

"Apa yang saya tahu, sudah dapat lagu yang baik dan menepati cita rasa saya. Lagu Sampan Mimpi ini lebih ke arah semangat yang positif untuk seseorang mengejar impian serta menjadi pemangkin semangat.

"Saya memang sudah terpikat dengan lagu ini selepas melihat susunan muziknya, lirik yang teliti dan Amir faham untuk menghasilkan karya terbaik, jujur serta ikhlas sebagaimana saya inginkan.

"Jadi, pada saya memang layaklah Amir menang sebagai juara di AJL38 itu dengan lagu Hasrat ciptaannya kerana dia seniman yang Allah hadirkan anugerah bakat seni hebat," katanya.

Mengenai peribadinya pula, Amira yang juga bekas pengacara program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O mengakui masih lagi tidak memiliki kekasih hati serta menyerahkan segala urusan jodohnya kepada takdir.

"Saya sebenarnya takut nak komen banyak kali mengenai jodoh sendiri kerana ia benda yang tidak boleh dijangka, termasuk bimbang akan disalah erti oleh orang lain.

"Tapi, saya tahu sebagai selebriti pastinya selagi tidak berkahwin, akan terus ditanya mengenai soal jodoh ini. Jadi, saya mohon doakan yang baik-baik," katanya memberitahu masih tiada bayangan calon jodoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:31 AM