AMIRA perkembangkan bakat seni ke lakonan dan pengacaraan.
AMIRA perkembangkan bakat seni ke lakonan dan pengacaraan.
Norhayati Nordin

Ketika persaingan Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Amira Othman, 23, adalah peserta yang menjadi perhatian juri tetap, Roslan Aziz hingga dilabel ‘kesayangan Roslan’ kerana pujian senantiasa menjadi miliknya.

Persembahan Amira bagaikan tiada ‘kekurangan’ pada mata mahu pun pendengaran telinga Roslan yang diihat cukup sukakan lenggok vokalnya.

Melihatkan pencapaian Amira atau Nadia Amira Othman kini, sedikit sebanyak ia mengembalikan semula kenangan Roslan. Ini turut diakui Amira yang kini makin popular dengan lagu Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

Kata Amira, dia sangat terhutang budi dengan Roslan. Sampai sekarang dia tidak pernah melupakan jasa komposer dan penerbit itu.

“Terus terang, selain keluarga yang setia memberi sokongan, kejayaan saya pada hari ini ada kaitannya dengan abang Roslan.

“Beliau adalah individu yang benar-benar yakin dengan bakat saya ketika dalam AF2013 dahulu. Saya sangat menghormati beliau,” katanya.

Biarpun persembahannnya ketika itu selalu mendapat pujian daripada Roslan, Amira akui dia tetap risau. Katanya, setiap kali membuat persembahan, dia senantiasa risau dan takut untuk menerima komen daripada Roslan.

“Saya bimbang tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Apapun, peluang menyertai AF2013 banyak memberi pengalaman berharga buat saya. Tidak sahaja mengenai ilmu nyanyian malah erti persahabatan,” katanya.

Biarpun dia pemenang ketiga selepas kumpulan duo, AzHael dan Faizul Sany sebagai juara, Amira gembira kerana rakannya itu banyak membantu.

“Selepas AF2013 berakhir, saya pernah menyepi seketika dan memberi tumpuan pada pelajaran. Ketika itu saya tidak nampak arah tuju apatah lagi ketika itu single Sesaat Untukku kurang menyerlah.

“Saya fikir lebih baik selesaikan pelajaran dahulu dan tengoklah bagaimana pula nasib saya,” katanya

Bagaikan sudah rezeki buatnya, single Hati-Hati ciptaan Faizul Sany, Hael Husaini dan Mike Chan menepati cita rasa pendengar.

Ia makin popular apabila Hati-hati yang liriknya ditulis oleh Hael dan Faizul juga menjadi lagu tema drama adaptasi novel, Sha & Shah lakonan Kamal Adli bersama Syatilla Melvin.

Selepas Hati-Hati, kemunculan single Jaga-Jaga juga tidak mengecewakan dan dipilih lagu tema untuk drama Abang Bomba I Love You pula.

Tidak sekadar menyanyi lagu tema, Amira juga memperkembangkan bakat seninya sebagai pelakon utama drama itu di samping Hisyam Hamid.

Mengakui bukan populariti yang dikejar, Amira menerima peluang berlakon itu atas niat mahu mencuba. Ternyata lakonan pertamanya mendapat kecaman hebat apabila lakonanya dikatakan kaku.

Amira akui pada mulanya sedih dengan komen itu tetapi kesedihannya tidak berlarutan apabila melihatnya pada sudut positif.

“Saya cuba memperbaiki setiap kelemahan. Setiap komen dan kritikan pedas penonton saya jadikan penguat semangat untuk memperbaiki kekurangan diri.

“Pada saya, walaupun ia perit, komen dan kritikan pedas itu adalah hak penonton. Sebagai pelakon, saya harus sedia menerimanya.

“Apatah lagi sebenarnya lebih baik jika ada yang sudi memberi komen dan kritik, jadi tidaklah saya terus berasa sudah berada dalam zon selesa,” katanya.

Tidak hanya menyanyi dan berlakon, Amira juga menjadi pengacara program bual bicara Nasi Lemak Kopi O (NLKO) siaran TV9. Baginya, tugas pengacaraan juga mencabar.

“Hingga kini saya masih mengacarakan program NLKO pada hujung minggu dan ia pengalaman sangat menarik. Banyak ilmu yang saya peroleh dan buat masa ini saya masih selesa untuk terus menggalas tugas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:22 AM