DAYANG mahu peminat terhibur dan tidak ‘kaku’ sepanjang persembahan.
DAYANG mahu peminat terhibur dan tidak ‘kaku’ sepanjang persembahan.
Rudy Imran Shamsudin


Sebaik penganjur beritahu tiket konsert sulung di Esplanade, Singapura habis dijual, Dayang Nurfaizah gementar namun pada masa sama teruja.

Sambutan terhadap konsert itu sangat memberangsangkan dan dia berjanji memberikan persembahan terbaik. Konsert itu akan diadakan pada 1 Januari depan.

“Saya turut kongsi berita gembira jualan tiket habis dijual dengan peminat di Instagram. Apabila membaca komen positif mereka membuatkan saya rasa tidak sabar mengadakan persembahan di sana.

“Rasa tertekan dan risau memang ada tetapi saya cuba menukarnya kepada semangat yang baik. Latihan bersama pemuzik hanya akan bermula minggu hadapan. Apa yang boleh saya cakapkan mengenai konsert sulung di Singapura ini ialah cuba berikan yang terbaik terutama dari sudut muziknya,” katanya

Selain itu penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak ini turut berkongsi suasana dewan yang boleh memuatkan 1,600 orang.

“Saya teruja apabila melihat pentas dewan Esplande. Risau pun ada kerana saya tidak mahu peminat ‘kaku’ sepanjang konsert berlangsung kerana keterujaan mereka berada dalam dewan terbabit. Saya mahu mereka terhibur.

“Sebagai penyanyi saya mahu mencipta memori indah, pengunjung menonton konsert itu dengan gembira dan menyanyi bersama,” katanya.

Setakat ini, kata Dayang dari segi konsep dan pengisian konsert tidak banyak yang dapat dia kongsikan kerana latihan belum bermula.

“Bagaimanapun, menerusi perbincangan bersama pengarah muzik, Jenny Chin, dia akan menghasilkan susunan muzik berbeza khas untuk konsert itu nanti. Cuma kebanyakan lagu daripada album terbaru tidak banyak perubahan boleh dilakukan.

“Namun, selalunya apabila lagu itu disampaikan secara langsung, rasa dan penghayatan pastinya berbeza,” katanya.

Selain menyanyikan lagu sendiri, kata penyanyi yang mula mencipta nama menerusi album Seandainya Masih Ada Cinta ada juga lagu Inggeris yang pernah didendangkan sebelum ini akan dipersembahkan dalam bentuk medley.

“Kebanyakan pemilihan lagu adalah cadangan daripada peminat. Lagu paling banyak mendapat permintaan saya akan letak dalam senarai. Cuma ada satu atau dua lagu yang permintaannya seimbang kita akan bincang yang mana perlu didahulukan,” katanya.

Jelas Dayang, cuma satu perkara yang dia mahu pesan andainya ada lagu yang dicadangkan peminat tidak dinyanyikan malam itu dia harap mereka tidak kecewa kerana ia boleh dipersembahkan lain kali.

Selain lagu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Separuh Mati Ku Bercinta, dua lagi lagu yang dimuatkan dalam album terbaru Dayang iaitu Dia serta Takdir. Di samping itu, hampir separuh daripada lagu daripada album terbaru Dayang digunakan sebagai runut bunyi menyebabkan ada yang menggelarkan pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu ratu runut bunyi.

“Bagi saya apabila lagu yang ditampilkan dalam album terbaru dipilih sebagai runut bunyi drama bersiri ia satu penghormatan dan perkembangan positif untuk kerjaya serta album dihasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 6:49 AM