DAYANG akui sedia buat konsert jika ada peluang.
DAYANG akui sedia buat konsert jika ada peluang.
Najiy Jefri


MELEWATI 25 tahun usia pembabitan dalam industri seni, penyanyi Dayang Nurfaizah terus unggul sebagai penyanyi 'papan atas' atau gred A di negara ini.

Populariti pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty sehingga hari ini tidak pernah goyah.

Namanya terus mengharum dan setiap karya yang diperkenalkan pasti dinanti-nantikan peminat.

Biarpun bersilih ganti bakat baharu hadir mewarnai pentas industri hiburan, namun Dayang sentiasa terpahat di hati rakyat Malaysia yang mengagumi bakat seni penyanyi berusia 43 tahun ini.

Berpeluang menemu bual penyanyi lagu popular Di Pintu Syurga itu, Dayang mengaku dalam proses menyiapkan album pop sempena meraikan 25 tahun pembabitannya dalam industri seni.

"Saya kini menyiapkan album pop yang sudah tertunggak beberapa tahun.

"Disebabkan tahun ini saya bakal menyambut 25 tahun pembabitan dalam dunia nyanyian, saya nak raikan album ini bersama peminat.

"Doakan semoga album ini boleh disiapkan tahun ini supaya saya dapat kongsi karya hebat daripada komposer dan penulis lirik tempatan," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan single balada seperti lagu Seandainya Masih Ada Cinta, Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Hakikat Cinta yang pernah dirakamkan sebelum ini kerana semacam sudah lama tidak mendengarnya, Dayang berkata, dia mungkin memuatkannya dalam album terbaharu itu.

"Kena tunggu, Insya-Allah akan ada juga (lagu balada),"katanya.

Beralih mengenai perancangan untuk konsert solo sempena meraikan kejayaannya dalam dunia seni, Dayang memberitahu, dia sentiasa mahu menjayakan konsert, tapi fokus utamanya kini adalah album pop.

"Kalau cakap fasal konsert sudah tentu saya nak buat konsert lagi. Rindu juga nak bertemu peminat dan berkongsi segala rasa dalam setiap lagu yang saya bawakan kepada mereka (peminat).

"Tapi, apa pun fokus saya sekarang lebih kepada album. Namun, kalau ada peluang itu tiba (persembahan konsert) sudah tentu saya nak buat," katanya.

Tempoh 25 tahun dalam industri seni, Dayang berkata, dia tidak akan mensia-siakan bakat kurniaan Allah dan terus menyanyi selagi diberikan peluang.

"Selagi saya mampu, selagi boleh dan selagi peluang itu diberi kepada saya, kenapa saya perlu berhenti.

"Bagi saya, selagi Tuhan kurniakan bakat ini, gunakan ia sebaik-baiknya. Sebab, saya pun tak tahu saya boleh menyanyi sampai bila," katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan album Belagu II yang menerima sambutan luar biasa peminat terutama lagu Umpan Jinak Di Air Tenang yang meraih lebih enam juta tontonan di YouTube dalam tempoh kurang setahun, Dayang bersyukur dengan sokongan padu peminat.

Kata Dayang, dia tidak menyangka apabila peminat muzik semakin terbuka dengan lagu klasik.

"Saya sangat bersyukur sekali apabila album Belagu II menerima sambutan yang positif. Saya amat berterima kasih di atas penerimaan peminat terhadap lagu klasik Melayu.

"Saya tidak lupa album Belagu I dan Belagu II juga memberi peluang saya mengadakan konsert di Malaysia dan Singapura.

"Alhamdulillah sehingga hari ini pun kalau saya menerima undangan nyanyian, lagu Umpan Jinak Di Air Tenang sentiasa menjadi pilihan penganjur," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 6:00 AM