TAMPIL 10 lagu rakaman studio, 3 lagu versi secara langsung AJL.
TAMPIL 10 lagu rakaman studio, 3 lagu versi secara langsung AJL.

Melihat peredaran industri muzik tanah air, tidak ramai artis yang berani hadir dengan album penuh. Kalau ada pun, kebanyakannya hanya sekadar menghasilkan album mini.

Daripada apa yang diamati, sesetengah artis hanya memberikan fokus kepada satu atau dua single untuk disajikan kepada peminat, lain pula ceritanya dengan Dayang Nurfaizah.

Selepas enam tahun tidak muncul dengan album, karya terbaru ini mendapat reaksi yang sangat positif daripada peminat.

Menampilkan 10 lagu rakaman studio dan tiga lagu istimewa versi secara langsung di Anugerah Juara Lagu (AJL), semua lagu dalam album ini mempunyai kualiti tersendiri.

Tiga lagu utama yang tidak asing lagi, Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung menjadi teraju utama di samping lagu baru lain dan masing-masing sudah berjaya sehingga ke AJL.

Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan dan hasil tulisan lirik puitis Ajai kedengarannya seperti mengembalikan memori peminat Dayang kepada lagu popularnya seperti Seandainya Masih Cinta.

Susunan muzik oleh Mac Chew dan Ajai sendiri juga pada masa sama, tidak lari daripada kehendak peminat muzik hari ini, yang mahu kembali ke zaman 90-an dan awal 2000-an.

Lagu Nanti juga mendayu dan menyayat hati. Melodinya dramatik, namun ringkas dan benar-benar membuai. Vokal Dayang juga dipertontonkan dan sangat bijak bermain dengan emosi setiap yang mendengar.

Syed Syahmirr dan Aepul Roza yang mencipta lagu Nanti menyuntik sesuatu yang baru, segar dan pada masa sama indah untuk disajikan kepada pendengar.

Satu lagi lagu segar adalah Dia hasil karya Ezra Kong, Omar K dan Hael Husaini. Masih bernadakan balada, namun turut disuntik dengan sedikit elemen R&B.

Dayang ketika melancarkan album ini serentak dengan acara persembahan mini di MaTiC, Kuala Lumpur berkata, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan sehebat ini.

“Alhamdulillah saya tak menyangka album ini mendapat sambutan baik. Mungkin disebabkan sudah enam tahun tak muncul dengan album baru membuatkan peminat tak sabar menantikan album ini.

“Saya juga berharap album ini terus menjadi pilihan peminat. Saya yakin setiap lagu yang ada dalam album ini menepati cita rasa peminat seperti single sebelumnya,” katanya.

INFO:

Penyanyi: Dayang Nurfaizah

Album: Dayang Nurfaizah

Label & edaran: Indigital Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:19 PM