GAMBAR pada 18 Mei menunjukkan asap tebal selepas serangan tentera rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
GAMBAR pada 18 Mei menunjukkan asap tebal selepas serangan tentera rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
AFP

Gaza: Seramai 217 penduduk Palestin termasuk 63 kanak-kanak terkorban dalam siri serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang kini sudah memasuki minggu kedua.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,400 orang cedera dalam serangan yang dilakukan di wilayah dikuasai pejuang Hamas itu.

Sementara itu, angka kematian di pihak Israel meningkat kepada 12 orang selepas roket Hamas membedil wilayah selatan, Eshkol.

Menurut polis, serangan itu turut menyebabkan dua rakyat Thailand yang bekerja di kilang di kawasan itu terkorban.

Krisis kemanusiaan itu semakin meruncing di Semenanjung Gaza dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 72,000 rakyat Palestin terpaksa melarikan diri.

Malah, misi bantuan antarabangsa untuk memasuki Semenanjung Gaza menjadi sukar dan dihentikan apabila Israel segera menutup pintu sempadan di Kerem Shalow dengan alasan serangan bom.

Hospital di wilayah yang dikenakan sekatan Israel hampir 15 tahun dipenuhi pesakit dan sering mengalami masalah bekalan elektrik.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, pada akhir Ramadan, selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Ia selepas tempoh diberi Hamas kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan di Masjid al-Aqsa, berakhir.

Penunjuk perasaan sebelum itu berhimpun di masjid berkenaan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan rejim zionis mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 11:08 AM