IHSAN pembaca
IHSAN pembaca
Azahar Hashim


LELAKI maut apabila treler dipandunya terbabas di simpang lampu isyarat Jalan Hi-Tech ke Kelang Lama berhampiran Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim.

Ong Kah Ban, 67, dari Taiping, Perak, mati di tempat kejadian dalam kemalangan pada 10.15 malam tadi.

Ketua Polis Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Kulim Hi-Tech menghala ke Kelang Lama.

Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian treler sarat muatan kayu itu tiba-tiba hilang kawalan, terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tebing tanah.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang memandu sendirian tersepit di tempat duduknya.

“Orang ramai yang melihat kejadian kemudian menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan mengeluarkan mangsa.

“Tapi mangsa disahkan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Hassan, 35, berkata, dia berada di kedai makan dekat lampu isyarat terbabit.

Katanya, ketika berbual bersama rakan, dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah Politeknik itu.

“Kami dan beberapa pelanggan kemudian bergegas ke arah bunyi dentuman itu dan terkejut melihat treler terbabas. Bahagian hadapannya terperosok ke dalam tanah.

“Orang ramai kemudian menghubungi bomba dan polis untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Mujurlah ketika kejadian tiada kenderaan lain di hadapan treler terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 10:40 AM