Keadaan Perodua Alza yang hangus terbakar selepas terlanggar kerbau. FOTO ihsan pembaca
Keadaan Perodua Alza yang hangus terbakar selepas terlanggar kerbau. FOTO ihsan pembaca
Azahar Hashim


Kulim: Wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terbakar akibat melanggar seekor kerbau di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Seluang, Lunas, hari ini.

Kejadian 7.15 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 25 tahun yang berkerja di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech dalam perjalanan pulang ke rumah dengan memandu Perodua Alza.

Mangsa terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan namun keretanya hangus.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Hi-Tech menghala ke arah Tol Lunas.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, seekor kerbau melintas menyebabkan pemandu gagal mengelak dan merempuh haiwan itu.

"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan dan tiba-tiba terbakar. Mangsa sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Mohd Yusri Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan 7.27 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera pemadam api dan ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Anggota bomba melakukan pemadaman api dan operasi tamat 8.03 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 9:16 PM