Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


BAKAL pengantin berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Geting, Tumpat, Jumaat lalu ditemui selamat di Jertih, Terengganu, kira-kira 4 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, Nur Zulaikha Abdul Hamid ditemui orang awam sebelum menghubungi Balai Polis Jertih.

"Wanita itu dibawa anggota ke balai polis. Anggota itu kemudian hubungi keluarga sebelum dia dibawa balik ke Pengkalan Kubor.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut dan keadaannya yang lemah masih belum pulih sepenuhnya," katanya ketika dihubungi malam ini.

Bagaimanapun maklumat lanjut dia ditemui di mana, bagaimana dia boleh berada di situ dan apa yang berlaku terhadapnya belum diperoleh berikutan polis belum merakam keterangan daripada remaja itu.

Harian Metro pada 14 November lalu melaporkan, bakal pengantin itu yang akan melangsung perkahwinan hujung bulan ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya, Jumaat lalu selepas dikatakan ke pasar pagi di pekan Geting untuk mencari barang keperluan.

Nur Zulaikha keluar bersama seorang rakan perempuannya, namun tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam ke pasar berkenaan.

Sementara itu ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali ketika dihubungi bersyukur mangsa ditemui selamat.

" Sebaik menerima panggilan itu, kami terus ke sana untuk mengambilnya.

"Keadaannya kini masih lemah namun bersyukur dia ditemui selamat," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:52 PM