PENGEMIS warga negara jiran yang ditahan MPKB-BRI. FOTO Ihsan MPKB
PENGEMIS warga negara jiran yang ditahan MPKB-BRI. FOTO Ihsan MPKB
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Segelintir peminta sedekah warga Thailand yang menjalankan kegiatan mereka di negara ini mendakwa mewakili pengurusan masjid, pondok dan rumah anak yatim yang memerlukan bantuan.

Mengenakan jubah dan berkopiah, golongan itu dikesan aktif berlegar di kawasan tumpuan di bandar untuk meraih simpati umat Islam supaya menderma untuk institusi terbabit.

Bagaimanapun, apabila diminta membacakan sepotong ayat suci al-Quran atau surah, tiada seorang pun daripada mereka dapat melakukannya.

Lebih jelik apabila ada antara mereka mengaku mewakili sindiket tertentu dan hanya mengambil 30 peratus daripada derma dikutip.

Taktik mereka terbongkar apabila lapan individu ditahan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) ketika serbuan pada 2 November lalu.

Malah, usaha memburu beberapa lagi pengemis warga asing giat dijalankan bagi mengekang aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

PENGEMIS warga negara jiran yang ditahan MPKB-BRI. FOTO Ihsan MPKB
PENGEMIS warga negara jiran yang ditahan MPKB-BRI. FOTO Ihsan MPKB

Ketua Operasi MPKB-BRI, Mohd Halimie Md Salleh berkata, pihaknya menahan empat lelaki yang menyamar wakil masjid, sekolah pondok dan rumah anak yatim, manakala empat lagi wanita yang menjual kerepek di hadapan bank di Kota Bharu.

Katanya, mereka ditahan berusia antara 20 hingga 40-an dengan semuanya mengenakan jubah dan lelaki pula berkopiah bagi mengaburi mata umat Islam tempatan supaya menderma.

“Mereka dapat kutip lebih RM100 sehari. Empat lelaki yang menyamar itu langsung tidak pandai baca al-Quran dan mengaku mewakili sindiket tertentu untuk meraih simpati.

“Mereka (peminta sedekah) juga memaklumkan wang derma dikutip diserahkan kepada sindiket 70 peratus dan mereka hanya dapat 30 peratus.

“Kami percaya sindiket didalangi warga tempatan, namun gagal mengesan mereka. Usaha dilakukan bagi kekang kegiatan ini bersama agensi berkuatkuasa lain,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:49 AM