Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Hampir 80 peratus pengemis dan peminta sedekah yang ditahan di negeri ini terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri, Mohamad Md Nor berkata, antara alasan yang digunakan golongan itu adalah mencari wang lebih selain mempunyai masalah kesihatan untuk bekerja sendiri.

Katanya, justeru mereka mengambil tindakan menjadi pengemis atau peminta sedekah di kawasan tumpuan seperti pasar, bank, masjid dan dataran yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Melihat kepada situasi terbabit, JKM bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan Ops Bersepadu Pengemis untuk mengenal pasti golongan berkenaan.

"Selain itu, turut diadakan 'Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu' supaya orang ramai dapat memberi sewajarnya kepada penerima yang benar-benar layak dan memerlukan.

"Di sepanjang Ramadan, kita mendapati pengemis dan peminta sedekah lebih aktif menjalankan kegiatan kerana lebih ramai yang mula memberi derma di bulan mulia ini," katanya dalam sidang media di perkarangan Pejabat JKM Kota Bharu, di sini, hari ini

Seramai 10 pengemis dan peminta sedekah ditahan dalam Ops Bersepadu Pengemis yang terdiri daripada warga tempatan berusia 50 sehingga 71 tahun.

Dalam operasi sama, pihaknya turut menahan warga emas wanita dan lelaki masing-masing berusia 70 serta 71 tahun kerana meminta derma pembinaan masjid atau surau, disyaki menggunakan surat dokumen palsu.

"Kedua-dua suspek mengaku menerima upah sekitar RM30 sehingga RM60 sehari bergantung kepada jumlah derma yang diterima.

"Hasil siasatan awal mendapati, mereka tidak tahu status dokumen yang dibawa sebaliknya hanya akur menerima tugas menunggu tabung derma di lokasi yang ditetapkan," katanya.

ANGGOTA JKM bersama PDRM menyoal pengemis yang mengemis sebelum dibawa di Pejabat JKM Kota Bharu, di sini, hari ini.  FOTO  Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA JKM bersama PDRM menyoal pengemis yang mengemis sebelum dibawa di Pejabat JKM Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 2:24 PM