PROSES menebuk lubang perlu dilakukan dengan teliti supaya bunyi yang dihasilkan merdu.
PROSES menebuk lubang perlu dilakukan dengan teliti supaya bunyi yang dihasilkan merdu.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Terpukau dengan kemerduan dan bunyi unik, hatinya terus terpaut buat kali pertama untuk mempelajari tiupan seruling serta menjadikan seni muzik itu sebagai hobi masa lapang.

Malah, berkat kegigihan dan minat mendalam menguasai kemahiran bermain alat muzik tradisional itu, anggota polis bantuan, Alias Sepian, 37, kini mampu menghasilkan jenama serulingnya sendiri dan dikomersialkan secara meluas
di seluruh negara.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, pada mulanya dia meminati gitar dan mempelajarinya sejak berusia 15 tahun.

Namun, selepas mendengar kemerduan bunyi seruling yang dimainkan rakannya pada 2015, dia mula beralih kepada alat muzik itu seterusnya berusaha gigih mempelajari dan menguasai kemahirannya.

Dia tidak menyangka minat bermain seruling menyebabkannya mula berjinak menghasilkan seruling miliknya sendiri di bawah jenama seruling Siong.

“Saya belajar main seruling dalam tempoh beberapa bulan dan kemudian timbul minat untuk saya hasilkan seruling milik saya sendiri. Ia sekadar hobi pada mulanya dan untuk koleksi peribadi.

“Bagaimanapun, apabila ramai orang tahu saya pandai menghasilkan alat muzik itu, daripada situ timbul peluang untuk dikomersialkan terutama kepada pemain muzik seruling,” katanya di rumahnya di Kampung Padang, di sini, semalam.

Anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu berkata, dia mempelajari seni pembuatan seruling daripada seorang rakan dikenali sebagai Fauzi Ibrahim yang dianggap sebagai sifu dalam bidang permainan seruling.

Alias berkata, bukan mudah untuk menghasilkan alat muzik itu kerana ia memerlukan bahan asas utama iaitu buluh berkualiti untuk dijadikan seruling.

“Buluh yang digunakan ialah jenis Temiang. Buluh ini paling sesuai untuk menghasilkan seruling kerana mempunyai ketumpatan dan bentuk yang baik.

“Ia dimulai dengan proses memotong dan membersihkannya. Saya turut merendam buluh yang dipotong dalam air garam bersama daun pandan bagi menghilangkan gula serta memberikan bau yang menarik pada seruling,” katanya.

Sekurang-kurangnya dia mengambil masa tiga bulan bagi menghasilkan seruling berkualiti termasuk proses membuat lubang dan mengecatnya.

Dia tidak menyangka ilmu penghasilan seruling yang dipelajari pada Januari tahun lalu kini menjadikannya usahawan peralatan muzik itu yang tidak putus menerima tempahan dari seluruh negara.

“Kebiasaannya, pemain dan peminat seruling menempah secara dalam talian melalui Facebook (FB). Ada juga yang tempah selepas diperkenalkan rakan kepada saya. Sebaik siap saya membuat penghantaran melalui pos,” katanya.

Dia kini mampu menjual tujuh hingga lapan alat muzik itu sebulan bergantung kepada tempahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:34 AM