DARI kiri, Along, Syeera dan Usop.
DARI kiri, Along, Syeera dan Usop.
Redzuan Muharam


Menceburi bidang seni suara adalah impian tiga protege Mentor Milenia 2017 iaitu Along, Usop dan Syeera sejak dulu namun di luar pentas, mereka sama seperti remaja lain yang aktif dengan hobi masing-masing.

Anak didik Tomok, Along, 20, berkata, selain menyanyi, dia berkebolehan bermain alat muzik seperti gitar, keyboard, dram dan seruling.

Namun, Along atau nama sebenarnya Mohamad Rozaimi Rosli lebih cenderung bermain gitar malah mengibaratkan alat muzik itu seperti teman wanitanya.

“Saya belajar bermain gitar ketika berumur 14 tahun dan mengambil masa setahun untuk benar-benar mahir.

“Awalnya memang susah sampai kematu jari dibuatnya, tetapi saya tidak putus asa dan terus berlatih sendiri setiap hari dengan mempelajari kod menerusi YouTube.

“Bagi saya, hobi bermain gitar ini bukan saja memberi kepuasan malah menghilangkan tekanan sehingga jadi kebiasaan untuk saya terus mencapai gitar selepas bangun tidur,” katanya yang turut gemar memasak.

Seorang lagi protege, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 20, berkata, dia turut mempunyai hobi pada masa lapang antaranya bermain Playstation.

Anak kelahiran Kedah itu berkata, hobi berkenaan bukan saja dapat menghilangkan bosan tetapi mengeratkan ukhuwah sesama ahli keluarga.

“Di rumah, saya mempunyai beberapa koleksi game namun paling gemar bermain permainan gusti .

“Saya tidak berseorangan kerana ayah dan abang turut bermain dan kami boleh duduk sehingga berjam-jam.

“Itu jika di rumah. Ketika di luar pula, saya lebih suka menyertai konvoi bermotosikal dengan rakan,” katanya yang mendapat bimbingan daripada pelantun lagu Relakan Jiwa, Hazama.

Satu-satunya protege Black yang masih kekal bertanding dalam Mentor Milenia 2017, Syeera, 19, pula cenderung dengan hobi menghias bilik ketika di rumah.

Sesibuk mana pun, Syeera tetap akan mencari masa untuk membersihkan, menghias dan menyusun atur kedudukan perabot di dalam biliknya.

“Saya mula tidur di bilik sendiri ketika berumur 13 tahun dan sejak itu, kerap membeli barang dekorasi untuk dijadikan hiasan terutama bingkai gambar.

“Bukan setakat itu, saya juga ada tabiat pelik iaitu menukar cadar katil setiap minggu walaupun ia baru digunakan hanya kerana mahu mencantikkan bilik.

“Bagi saya, bilik ibarat syurga dan sebab itu, saya boleh seharian terperap di dalamnya,” katanya yang menggemari dekorasi berkonsepkan Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:55 PM