KEM ibadat.
KEM ibadat.
BAWA anak melancong.
BAWA anak melancong.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sibuk bekerja selalunya mengehadkan waktu ibu bapa untuk berfikir dan merancang aktiviti sepanjang cuti persekolahan anak. Mungkin ada banyak idea kreatif yang terlintas di fikiran, namun sukar hendak direalisasikan berikutan kekangan masa, perjalanan, pengangkutan, lokasi dan kewangan. Oleh itu, berapa banyak lagi yang tinggal dalam senarai?

Bagi Guru Cemerlang Sains, Norhailmi Abdul Mutalib, cuti panjang disifatkan masa terbaik untuk dimanfaatkan pelajarnya dengan melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Katanya, bukan semua aktiviti menarik ‘mewajibkan’ ibu bapa mengeluarkan sejumlah wang, namun majoriti daripadanya memerlukan komitmen dan sokongan.

Berikut beberapa aktiviti cuti sekolah paling popular dan bermanfaat yang dicadangkan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, Kedah ini menerusi laman blognya, www.cikguhailmi.com.

1. Kem motivasi

Kem motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem motivasi terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepemimpinan dan akademik. Pilihlah kem motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda berpuas hati dengan hasilnya nanti.

2. Kem ibadat

Ini juga kem yang baik untuk anak. Kem ibadat selalunya dipenuhi aktiviti dan program berkaitan hal ibadat termasuk teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan al-Quran dan aktiviti pemantapan iman. Malah, kini ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih anak-anak mempelajari teknik menghafal al-Quran.

3. Klinik sukan

Bagi anak yang meminati sukan dan menyimpan cita-cita ke peringkat lebih tinggi, mereka boleh mengikuti program ini. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutama bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, mereka boleh melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.

4. Belajar ICT

Penggunaan komputer pada masa kini amat meluas dalam kalangan anak. Sekiranya itu menjadi minat mereka, cuba didik untuk menggunakannya dengan cara berfaedah. Kelas grafik, suntingan video, bina laman web, pengekodan dan membina aplikasi atas talian adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada anak pada masa depan.

5. Kursus bahasa

Ini kursus yang bagus untuk anak. Mempelajari bahasa tambahan memberi kelebihan buat mereka. Anak yang lemah bahasa Inggeris boleh menggunakan kesempatan ini untuk menguasai mata pelajaran berkenaan secara intensif. Selain itu, ibu bapa juga boleh menghantar anak-anak mempelajari asing lain termasuk Mandarin, Arab, Jepun dan paling popular, Korea.

6. Kemahiran bertukang

Bertukang adalah aktiviti yang menyeronokkan. Mulakan dengan menghasilkan barangan mudah yang berguna seperti rak buku dan bekas alat tulis. Kemudian, dengan pengawasan ibu bapa, anak boleh menghasilkan bahan yang lebih besar seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.

7. Kraf dan anyaman

Bagi anak yang sukakan kerja tangan, mereka boleh menghasilkan kraf anyaman. Kraf ini mudah dihasilkan menggunakan bahan seperti kertas, plastik, besi dan bahan buangan. Rujuk banyak langkah pembuatan menerusi Internet dan bahan bacaan untuk menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.

8. Belajar muzik

Mempelajari penggunaan alat muzik bukan saja menyeronokkan malah mendidik pemikiran kritis. Tambahan jika anak memang sukakan muzik. Mula belajar dengan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, anak anda boleh meneruskannya ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.

9. Belajar berenang

Bagi yang belum boleh berenang, aktiviti ini amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk melahirkan seorang perenang yang baik. Tidak rugi jika menguasai kemahiran ini. Beruntung jika anda tinggal di kediaman yang dilengkapi kemudahan kolam renang. Apabila sudah mahir, ia boleh dijadikan aktiviti riadah rutin.

10. Belajar memasak

Bagi anak perempuan, ini masa sesuai untuk belajar memasak terutamanya jika tinggal di asrama. Ringankan tulang menolong ibu di dapur. Cuba sesekali memasak resipi mudah. Banyak teknik masakan boleh di muat turun dari Internet. Cuba hasilkan kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik bukan?

11. Belajar menari

Menari juga tergolong dalam bidang kreatif dan boleh dianggap senaman terbaik untuk tubuh. Peruntukkan cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada anak untuk memilih sama ada tarian moden atau tradisional. Sekurang-kurangnya, ia menjadi nilai tambah untuk diri pada masa depan. Pilihan lebih santai adalah zumba, aerobik atau tarian kecergasan.

12. Berkebun

Menanam pokok hiasan atau sayur di sekitar rumah boleh dianggap sebagai terapi. Sekurang-kurangnya hasil tuaian nanti boleh dimasak atau dijual. Memandangkan tempoh cuti sekolah hanya sebulan lebih, pilihlah tanaman yang cepat membesar dan memerlukan tempoh singkat untuk mengeluarkan hasil.

13. Melancong

Bagi keluarga berkemampuan, keluarlah melancong ke destinasi percutian pilihan. Aktiviti ini memang menyeronokkan dan dapat membuka minda anak. Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman. Antara pilihan terbaik untuk melancong adalah tempat bersejarah, lokasi menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.

14. Sukan ekstrem

Ada antara anak yang menyimpan hasrat mencuba sukan ekstrem. Apa kata gunakan masa cuti ini untuk mengasah bakat mereka dalam sukan yang dipilih. Dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini dan ingat, utamakan keselamatan sepanjang menyertai aktiviti lasak sebegini dengan memakai peralatan serta pakaian yang sesuai.

15. Bekerja sambilan

Sesetengah orang lebih suka mencari duit poket sambil menimba pengalaman kerja dan bertemu orang baru setiap hari. Inilah waktu sesuai untuk bekerja sambilan. Pastikan kerja yang dipilih selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Paling utama, dapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu.

16. Membantu datuk dan nenek di kampung

Aktiviti ini kedengaran manis bukan? Ia lebih bersifat kekeluargaan, namun banyak kebaikan dan manfaat. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, rebut peluang untuk merasai pengalaman hidup dalam cara berbeza. Gaya hidup dan didikan di kampung sudah tentu jauh berbeza dengan kehidupan bersama ibu bapa di bandar. Banyak yang akan dipelajari terutamanya hal membabitkan adab, sopan dan akhlak terhadap orang tua.

17. Menolong ibu bapa di rumah

Jika hanya duduk di rumah, anak boleh membantu ibu bapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak dan melipat pakaian. Sekurang-kurangnya kehadiran mereka di rumah sepanjang cuti ini dapat membantu meringankan beban dan tanggungjawab harian ibu.

18. Lakukan kerja amal

Tidak perlu menggerakkan badan kerja amal yang baru. Cukup sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal sedia ada. Dedahkan anak dengan gerakan amal dalam talian yang mengajak orang ramai mengumpul beg sekolah atau pakaian bayi untuk orang memerlukan. Selain itu, banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan.

Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.

19. Membaca

Ulat buku tentu sekali sukar berenggang dengan naskhah ilmiah, novel atau komik. Pilihlah novel berkualiti tinggi untuk membantu anak mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini.

20. Ulang kaji dan persediaan tahun depan

Ini adalah cadangan terakhir, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun kedengaran agak membosankan, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika anak bakal berhadapan dengan peperiksaan besar. Sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang harus dilakukan anak untuk tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 12:11 PM