KHAMARUL menunjukkan pelbagai hadiah yang dimenangi.
KHAMARUL menunjukkan pelbagai hadiah yang dimenangi.
Norasikin Daineh

Ranau: Selain mahir membuat seruling, anak kelahiran Kampung Sinisian, Kundasang ini turut memikat hati juri di peringkat antarabangsa dengan memenangi lima pingat dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat pada 2016.

Bakat Khamarul Azman Kowasin, 22, diasah sejak berusia sembilan tahun oleh bapanya yang juga pembuat seruling bambu di daerah ini.

Menurut Khamarul, sejak kecil dia banyak bermain pelbagai alat muzik tradisional dan mahir memainkannya terutama seruling yang diperbuat daripada bambu.

“Sejak itu, bakat saya diasah dan lagu pertama saya mainkan ialah Sayang Kinabalu manakala ketika di tahun lima saya berpeluang ke Jepun untuk bermain seruling.

“Selain seruling, saya mahir bermain pelbagai alat muzik antaranya sompoton dan marimba namun lebih fokus kepada seruling untuk pertandingan serta persembahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sinisian di sini.

KHAMARUL mahir meniup seruling.
KHAMARUL mahir meniup seruling.

Khamarul berkata, bintangnya mula menyerlah apabila sering menyertai pertandingan dan persembahan bersama kumpulannya iaitu Persatuan Kebudayaan Kesenian Sinar Buluh Perindu Sabah.

Katanya, dia dan kumpulannya banyak menerima jemputan di beberapa negara termasuk pertandingan di Amerika Syarikat (AS) pada 2016 selain Brunei dan Jepun.

“Di AS, saya mara hingga ke akhir dan mewakili negara ketika itu dengan memainkan beberapa muzik lagu antaranya Lampai-Lampai Pisang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:54 AM