Pelajar SMK Sungai Damit  membuat latihan sebelum menaiki pentas pada Pesta Muzik Bambu ke-11 di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.
Pelajar SMK Sungai Damit membuat latihan sebelum menaiki pentas pada Pesta Muzik Bambu ke-11 di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.
Recqueal Raimi

Tuaran: Lazimnya pertandingan band muzik menampilkan peserta dengan alat muzik moden seperti gitar, dram, piano ataupun biola. Bagaimanapun, berbeza dengan Battle of the Bamboo Bands 2017 yang menyaksikan pesertanya bermain alat muzik tradisional termasuk yang diperbuat daripada bambu atau buluh.

Acara yang diadakan sempena Pesta Muzik Bambu ke-11 peringkat daerah di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, di sini, kelmarin menyaksikan penyertaan lebih 70 pemuzik dari sembilan kumpulan. Antaranya, sompoton, seruling, angklung, bungkau dan tangunggak yang sering dimainkan ketika majlis perayaan khas masyarakat kaum Kadazan dan Dusun.

Pengerusi Penganjur, Jane Thing berkata, pertandingan itu menyaksikan menampilan kumpulan pemuzik yang mempersembahkan lagu bahasa Kadazan-Dusun dan lagu rakyat lain.

Beliau berkata, penyertaaan terbahagi kepada kategori sekolah menengah, sekolah rendah dan terbuka.

“Alat muzik berasaskan alam semula jadi (bambu) itu dimainkan secara kreatif dalam menunjukkan bakat secara berkumpulan. Ia menjadi tarikan pengunjung khususnya daerah Tuaran,” katanya.

Menurutnya, alat muzik berasaskan bambu adalah menerusi sompoton, seruling, bungkau, tongkungon dan turali.

“Menariknya dalam persembahan itu, peserta dianggotai kanak-kanak dan remaja etnik kadazandusun seawal usia sembilan tahun yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bermain alat muzik radisional berkenaan.

“Ini yang kita mahu iaitu memperkembangkan dan memupuk minat melalui permainan alat muzik tradisional supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, peserta, Sera Lina Sindin, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit, Tamparuli berkata, ini penyertaan kali pertamanya dalam acara berkenaan.

Katanya, kumpulannya dianggotai lapan orang.

“Kami mengambil masa hampir sebulan dan mendapat bimbingan guru muzik sekolah kami iaitu Phelibert Sauki. Kami sangat teruja memandangkan permainan ini hobi kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Joisin Romut dalam ucapan perasmiannya berkata, pihaknya berharap pertandingan itu terus dianjurkan pada tahun depan. Beliau berkata, ia bagi mengekalkan keunikan warisan budaya etnik Kadazan-Dusun.

“Jika pertandingan ini dikekalkan, ia membolehkan generasi muda menghayati keunikan alat muzik tradisional,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, acara ini hanya boleh ditemui di negeri ini.

“Justeru, ia harus dikekalkan untuk tatapan masyarakat akan datang di samping menjadi tarikan pelancong ke daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:19 AM