NORAMRY (dua dari kanan) melayan sebahagian anak yatim yang diraikan pada majlis berbuka puasa di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NORAMRY (dua dari kanan) melayan sebahagian anak yatim yang diraikan pada majlis berbuka puasa di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“ALHAMDULILLAH, wang sumbangan orang ramai berjumlah hampir RM9,000 sudah saya agihkan kepada 60 anak yatim,” kata Noramry Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mr Seruling.

Noramry, 31, berkata, dia menyerahkan sumbangan itu menerusi majlis berbuka puasa yang diadakan dengan kerjasama Restoran Warung Salai dan beberapa rakan lain di Port Dickson, semalam.

Menurutnya, seramai 60 anak yatim daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Daerah Port Dickson berusia antara lima hingga 17 tahun menerima wang tunai hasil sumbangan orang ramai menerusi kerja amalnya meniup seruling di bazar Ramadan sekitar Port Dickson sejak awal Ramadan lalu.

“Saya bersyukur kerana dapat mengadakan majlis ini untuk melaksanakan amanah daripada penyumbang. Saya juga berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sumbangan walaupun kecil tetapi cukup bermakna untuk mereka yang memerlukan.

“Saya berharap dapat meneruskan kerja amal ini selepas ini dan orang ramai akan terus menyumbang walaupun bukan pada Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Noramry meniup seruling di bazar Ramadan sekitar Port Dickson pada setiap petang selepas pulang bekerja bagi mengumpul wang untuk diagihkan kepada anak yatim di daerah itu.

Kakitangan Pejabat Daerah Port Dickson itu berkata, pada awal kerja amalnya mulai 2016, wang yang diterima dapat diagihkan kepada 20 anak yatim dan jumlah itu meningkat saban tahun.

Portal berita Harian Metro pada 14 Mei lalu melaporkan Noramry yang mahir meniup seruling menggunakan bakat dikurniakan Allah untuk menghiburkan pengunjung di bazar Ramadan sambil mengutip sumbangan untuk anak yatim.

Menurutnya, dia terpanggil membantu golongan itu selepas memahami kesempitan hidup mereka dan mahu golongan terbabit turut merasai kemeriahan perayaan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 3:03 PM