Haron mengasah semula bakat lukisan figura.
Haron mengasah semula bakat lukisan figura.
PESERTA LIfe Figure Drawing   menunjukkan bakat masing-masing.
PESERTA LIfe Figure Drawing menunjukkan bakat masing-masing.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Sambil melukis sambil melayan si kecil. Aksi pasangan ibu dan anak ini ternyata menarik perhatian pengunjung termasuk peserta aktiviti Life Figure Drawing bersama Datuk Azman Yusoff, Jaafar Taib dan Haron Mokhtar’ yang diadakan di Galeri Prima, Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), semalam.

Naddia Zakaria, 32, kakitangan syarikat insurans tempatan, mengakui melukis menjadi minatnya sejak kecil.

Malah, anaknya Nur Innara, 2, turut menunjukkan kecenderungan minat sama apabila dilihat leka menconteng kertas lukisan sewaktu acara berlangsung.

“Mengenai aktiviti live drawing atau lukisan hidup, ia menguji peserta untuk melukis dengan kadar pantas dan masa yang singkat.

“Secara tidak langsung ia menggalakkan kepantasan daya berfikir serta fokus dalam merakamkan sesuatu imej,” katanya.

Aktiviti bermula seawal jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelukis senior Haron Mokhtar, 54, yang tidak canggung dikelilingi pelukis muda.

“Saya suka sesuatu benda yang berkaitan kesenian termasuk aktiviti live drawing. Pertama dapat bertemu rakan dan paling penting berkongsi pengalaman dengan peserta yang hadir.

“Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung iaitu lebih 30 tahun dalam bidang seni lukisan, saya tahu anak muda ini perlu diberikan semangat baru mereka faham bagaimana mengharungi kehidupan sebagai pelukis melalui perkongsian pengalaman pelukis senior.

“Disebabkan itu saya menyertai kumpulan anak muda ini untuk memberi galakan kepada mereka,” katanya mengasah semula skil lukisan figura yang sudah lama ditinggalkan.

Seorang lagi pelukis yang dikenali dalam kalangan penggemarnya, Haslin Ismail, 33, berkata, pembabitannya dalam aktiviti itu sebagai latihan untuknya bagi melatih pelajar di Institut Seni Malaysia (MIA).

“Saya pensyarah sambilan di MIA dan mengajar untuk subjek figura. Ini kali pertama saya membabitkan diri dalam program anjuran Galeri Prima dan tujuan utama untuk melatih diri dan menguji skil melukis yang akhirnya dikongsikan kepada pelajar saya.

“Cabaran hari ini mudah kerana tidak membabitkan pergerakan kompleks sebaliknya cuma duduk dan berdiri. Tekanan mungkin dari segi masa apabila bagi setiap satu aksi model, peserta diberikan masa lima minit untuk menyiapkannya.

“Sedangkan melukis figura perlu mengambil masa lama,” katanya.

Sementara itu, Penulis Diraja Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu Datuk Azman Yusoff memuji usaha penganjur yang dilihat sebagai penggalakan kepada bakat baru.

“Demonstrasi secara langsung penting bagi pembelajaran seseorang untuk memulakan setiap lukisan, sekali gus memahirkan diri,” katanya.

Disertai 50 peserta, sebahagian mereka adalah pelajar dan pensyarah Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) termasuk orang ramai.

Dua pelukis yang turut menyerlah dengan gaya lukisan masing-masing adalah Mohd Khairudin Zainudin dan Arbaayah Mohamad Zain.

Aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada program Pameran Terrains of the Heart yang diadakan bermula 25 September hingga 20 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 6:53 AM