ANTARA aktiviti yang dilakukan dalam bengkel lukisan itu.
ANTARA aktiviti yang dilakukan dalam bengkel lukisan itu.
FATHULLAH (kiri) bersama Mohd Nizam (dua dari kiri), Yuslinda dan tiga anak mereka yang menyertai bengkel lukisan itu.
FATHULLAH (kiri) bersama Mohd Nizam (dua dari kiri), Yuslinda dan tiga anak mereka yang menyertai bengkel lukisan itu.
FATHULLAH ketika mengajar peserta melukis di Balai Seni Visual Negara.
FATHULLAH ketika mengajar peserta melukis di Balai Seni Visual Negara.
Hajahfarhana Tarmudi


Cuti sekolah yang panjang pastinya membosankan jika ia tidak diisi dengan aktiviti menarik dan bermanfaat untuk anak. Selain melancong dan mengunjungi pusat beli-belah, sesetengah ibu bapa biasanya mencari aktiviti yang menyeronokkan serta menggalakkan anak mereka menjadi lebih kreatif.

Memahami keadaan itu, pelukis ternama, Fathullah Luqman Yusuff menganjurkan Art Appreciation Session sempena musim cuti persekolahan dan Pameran KL Bienniale 2017 yang bermula pada 25 November lalu.

Menurut Fathullah, aktiviti berkenaan akan diteruskan setiap hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad sepanjang Disember bagi memanfaatkan cuti persekolahan hujung tahun ini.

“Aktiviti ini bertujuan memberi peluang mereka menikmati pameran penting ini selain mendapat panduan berguna daripada pelukis profesional di samping belajar melukis.

“Pada masa sama, aktiviti berkenaan turut menggalakkan ibu bapa menyertainya bagi mendedahkan mereka mengenai program bermanfaat itu.

“Sesi ini terbuka kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun manakala peserta berumur empat atau lima tahun yang mahu menyertainya juga dibenarkan.

“Namun, ia perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu ditemani penjaga sepenuhnya sepanjang masa,” katanya.

Jelasnya, sesi yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menerima penyertaan minimum 30 peserta pada satu masa. Bagi mengelak kanak-kanak bosan, Fathullah memilih untuk mengajar asas melukis yang membabitkan watak kartun, komik dan permainan video.

Ibu bapa tidak perlu risau kerana aktiviti berkenaan turut dilengkapi peralatan melukis untuk dua hari. Selain mendedahkan kanak-kanak asas melukis, peserta turut dibawa melawat galeri pameran di Balai Seni Visual Negara.

“Saya mula mengajar anak kecil melukis sejak 2011 di lokasi ini selain menjadi tenaga pengajar kepada pelajar yang kebanyakannya mendapat pendidikan di rumah atau individu berminat.

“Sebelum itu, saya hanya fokus melukis dan mencipta nama dalam dunia seni. Namun, selepas mengajar barulah dapat menikmati kerjaya sebagai pelukis.

“Ini kerana saya dapat berkhidmat untuk masyarakat berbanding sebelum ini yang tenggelam melayan keasyikan dunia sendiri,” katanya.

BELAJAR MELUKIS DENGAN PAKAR

Ibu kepada tiga cahaya mata, Yuslinda Yusof turut menyertai bengkel lukisan berkenaan pada Sabtu dan Ahad lalu. Dia dan suaminya, Mohd Nizam Duaji menghantar tiga anak, Nuraliya, 11, Nuralisa, 7, dan Nuralina, 4, ke bengkel berkenaan memandangkan mereka meminati lukisan.

“Memandangkan cuti sekolah baru bermula dan tiada rancangan lain, kami mengambil keputusan menghantar anak mengikuti bengkel seperti itu supaya masa yang terluang dapat dimanfaatkan.

“Ini adalah bengkel pertama yang disertai anak kerana sebelum ini saya sendiri yang mengajar mereka teknik melukis dan mewarna memandangkan saya juga pelukis.

“Namun, saya beranggapan setiap orang mempunyai teknik mengajar yang berbeza. Oleh itu, tidak ada salahnya saya memberi pendedahan dan peluang kepada mereka untuk melihat sendiri teknik berbeza yang dipelajari daripada individu mahir,” katanya.

Jelasnya, sepanjang dua hari mengikuti bengkel berkenaan, dia dapat melihat ketiga-tiga anaknya begitu seronok dengan kaedah yang dipelajari.

Pada hari pertama, mereka didedahkan dengan teknik mewarna menggunakan pewarna pensel oleh artis jemputan iaitu Hasren Ismail atau Uncle Uneh yang sinonim dengan panggilan Raja Pensel Warna.

Dalam sesi itu, mereka dibekalkan papan, pensel warna dan kertas lukisan. Uncle Uneh menunjukkan cara mewarna dengan betul sambil diselitkan sedikit gurauan agar peserta terhibur.

“Malah, ibu bapa yang turut serta juga seronok. Selain itu, ‘teknik rahsia’ juga diajar kepada ibu bapa untuk menerangkan makna lukisan apabila ditunjukkan anak.

“Selepas berehat selama 30 minit, sesi seterusnya diteruskan oleh Fathullah. Ia bermula dengan perkongsian pengalamannya dalam bidang lukisan.

“Hari kedua, barulah peserta diajak berjalan-jalan untuk menunjukkan hasil lukisan sebenar daripada pelukis mahir yang dipamerkan di situ. Kemudian, barulah sesi belajar melukis dan mewarna dijalankan,” katanya.

Sedikit sebanyak bengkel berkenaan memberi peluang kepada anaknya untuk melakukan aktiviti berbeza setiap kali tiba musim cuti sekolah.

Ujarnya, memang tidak dapat dinafikan, apabila tiba cuti sekolah dia dan suaminya turut merancang membawa ketiga-tiga anaknya pergi bercuti atau ke pusat beli-belah.

Ini kerana aktiviti sebegini adalah salah satu cara meluangkan masa bersama anak. Namun, sekarang kita boleh lihat banyak pihak turut menyediakan bengkel dan program yang bermanfaat untuk kanak-kanak.

Memandangkan cuti sekolah baru bermula, dia tidak teragak-agak untuk menghantar anaknya menghadiri bengkel lukisan itu apatah lagi mereka memang suka melukis.

“Selama ini mereka melukis tanpa didikan yang khusus. Menerusi pendedahan seperti ini, masa mereka dapat dimanfaatkan. Bagi saya, kepentingan seni lukis kepada kanak-kanak perlu diterapkan pada usia muda.

“Ini kerana kanak-kanak dilahirkan dengan sifat yang dinamik dan berkembang mengikut fitrah semula jadi dalam proses tumbesaran mereka.

“Rasanya di setiap rumah ada ‘hasil seni’ yang dilakarkan pada dinding, buku, majalah mahu pun sofa. Sebagai ibu bapa, kita kena faham ia adalah perkara lumrah bagi kanak-kanak dan hasil kerja seni ini sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri, sama ada sebagai saluran komunikasi atau menjadi refleksi pemikiran.

“Saya menganggap seni sebagai satu terapi dan sangat bagus diterapkan kepada kanak-kanak seawal umur empat tahun. Ia melatif fikiran mereka untuk menjadi kreatif,” katanya.

Baginya, kehadiran anak dalam bengkel berkenaan dapat membimbing mereka dengan teknik mewarna terutama dari segi bancuhan, kaedah penggunaan berus, pensel dan ruang dalam kanvas (komposisi subjek).

Jelasnya, proses belajar anak jangan dihadkan. Di bengkel melukis, apa yang dapat dilihat, anak dilatih belajar berdikari, berjumpa kawan baru dan bersosial, memahami arahan, kefahaman asas dalam seni lukisan serta bereksperimen dalam hidup.

Melalui cara itu, pandangan mereka terhadap orang lain dan seni itu sendiri lebih meluas, bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 12:59 PM