Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas kereta mangsa terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas kereta mangsa terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMBANTU klinik cedera ringan ketika cuba berpaut pada Perodua Myvi miliknya yang dilarikan penjenayah dengan dua anaknya berada dalam kenderaan itu di Taman Pulai Indah, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu mengambil payung di bonet kereta sebelum seorang lelaki dilihat masuk ke dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa ketika itu baru tiba di rumah bapanya di Taman Pulai Indah untuk menghantar dua anaknya, seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun.

"Ketika itu hujan dan mangsa keluar mengambil payung di bonet kereta. Dia nampak seorang lelaki bertopi warna biru masuk ke dalam kereta.

"Mangsa cuba membuka pintu kereta kerana kedua-dua anaknya masih berada di dalam, tetapi pintu kereta sudah dikunci," katanya.

Beliau berkata, suspek melarikan kereta bersama anak mangsa menyebabkan wanita itu cuba berpaut namun terjatuh.

Noor Hashim berkata, adik lelaki mangsa cuba mengekori kereta terbabit dan ternampak anak perempuan mangsa ditinggalkan di tepi jalan beberapa lorong dari rumah bapa mangsa.

"Mangsa kemudian ke Balai Polis Kangkar Pulai untuk membuat laporan dan ketika di balai polis, mangsa menerima panggilan daripada adiknya memaklumkan ada orang menjumpai anak lelakinya di laluan masuk Taman Pulai Indah dan menghantarnya semula ke rumah bapa mangsa.

"Turut dilarikan ialah telefon bimbit jenis Samsung Note 2," katanya.

Menurutnya, kereta mangsa yang dibawa lari itu kemudian dijumpai terbabit dalam kemalangan di kawasan Ulu Choh pada 8.45 pagi selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori.

Bagaimanapun, katanya, suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakannya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 1:14 PM