CERMIN kenderaan mangsa yang dipecahkan sebelum melarikan wang tunai RM108,000.
CERMIN kenderaan mangsa yang dipecahkan sebelum melarikan wang tunai RM108,000.
Mary Victoria Dass


SEORANG majikan kerugian RM108,000 apabila wang disimpan dalam kereta untuk membayar gaji pekerja dilarikan jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku di parkir berhampiran sebuah restoran di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri.

Menurutnya, sebelum kejadian pengadu mengeluarkan wang tunai RM90,000 dari sebuah bank di Taman Bukit Indah.

Katanya, dia menyimpan wang itu dalam beg komputer riba dalam bonet kereta.

“Lelaki berusia 40 tahun yang juga warga China kemudian ke sebuah restoran di Taman Nusa Bestari untuk minum.

“Selesai minum dan pulang ke kereta, lelaki terbabit yang juga sub kontraktor mendapati cermin belakang kanan keretanya dipecahkan manakala beg komputer riba di dalam bonet didapati hilang,” katanya.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan mangsa kerugian RM108,000.

“Wang dilarikan termasuk RM90,000 yang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja selain untuk kegunaan sendiri.

“Polis mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:55 PM