Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang membawa lari dan memukul mangsa ketika menyamun selepas menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 32 tahun.

Mereka ditahan Sabtu lalu pada 11.18 pagi, kurang dua jam selepas melakukan samun terhadap seorang lelaki yang juga penyelia kedai serbaneka warganegara Nepal di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Pulai Perdana, Kangkar Pulai di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, suspek berkenaan aktif dalam melakukan kegiatan samun berkumpulan di sekitar Kangkar Pulai di sini, sejak dua bulan lalu dan menggunakan modus operandi menarik pekerja kedai masuk ke dalam kereta, memukul, samun sebelum ditinggalkan di tepi jalan dan kemudian dipercayai kembali ke kedai untuk membawa lari barang berharga.

"Dalam kejadian 9.45 pagi, mangsa yang berada di hadapan kedai itu didatangi tiga lelaki yang bertindak menarik mangsa masuk ke dalam kereta dinaiki mereka. Suspek merampas barangan milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan yang mana lokasinya tidak diketahui mangsa," katanya.

Beliau berkata, pada 11.18 pagi, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek di dua lokasi berasingan di Jalan Pakis, Kangkar Pulai di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 2:04 PM