ular sawa yang dijumpai dalam enjin kenderaan.
ular sawa yang dijumpai dalam enjin kenderaan.

Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ular sawa berukuran satu meter berlingkar dalam bonet kereta Perodua Kancil miliknya sebaik banjir kilat surut di Jalan Tabuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa yang berusia 20-an memeriksa keretanya yang tersadai akibat banjir berhampiran kedai di jalan itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata, lelaki terbabit membuka bonet depan dan ketika membuka pencucuh elektrik, dia terkejut mendapati ular sawa berlingkar di enjin kenderaan itu.

“Ular sawa itu dipercayai tersesat ketika banjir dan masuk ke tempat enjin. Pemilik segera memanggil kami untuk anggota JPAM yang kebetulan berada di lokasi kejadian membuat pemantauan.

“Saya bersama dua anggota cuba menarik reptilia itu dan kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkannya.

“Ruang sempit menyukarkan proses itu kerana ia berpaut pada beberapa komponen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:12 AM