Mohd Fauzi Abdullah


KANAK-KANAK lelaki berusia 10 tahun yang dirantai bapa tiri pada tong gas di Indera Mahkota 1, Kuantan, kelmarin, mahu bertemu bapa kandungnya yang dipercayai berada di Melaka.

Hasrat itu disuarakannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin ketika lawatan di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan, hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, bapanya bekerja sebagai pencuci kereta di Pantai Klebang dan sudah lama tidak bertemu lelaki itu.

"Kali terakhir saya bertemu ayah pada hari raya (Aidilfitri) tahun lalu.

"Selepas itu tidak lagi (bertemu)," katanya.

Katanya, dia juga tidak pernah menghubungi bapa kandungnya itu kerana tidak mengetahui nombor telefon lelaki berkenaan.

Sementara itu, Shahaniza berkata, dia berharap bapa kandung kanak-kanak terbabit datang bertemu anaknya selepas kejadian disiarkan media.

"Mungkin ada kerinduan dalam dirinya (kanak-kanak) terhadap bapa kandung kerana saya difahamkan sudah lama tidak bertemu.

"Jadi, saya harap jika bapa kandungnya membaca berita ini datanglah bertemunya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan baik dan akan dipantau pihak HTAA serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sementara menunggu siasatan polis selesai pihak JKM akan memberikan kaunseling kepada kanak-kanak ini selain melihat keperluan lain yang bersesuaian.

"Sehingga kini dia masih dirawat di hospital," katanya.

Berita berkaitan:

Nak mendidik atau menyeksa?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 2:57 PM