Mangsa kelihatan tersenyum selepas mahkamah mengeluarkan perintah hak penjagaan kepada bapa kandung. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mangsa kelihatan tersenyum selepas mahkamah mengeluarkan perintah hak penjagaan kepada bapa kandung. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MAHKAMAH Bagi Kanak-Kanak Kuantan memerintahkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dirantai bapa tirinya Khamis lalu, diserahkan kepada bapa kandungnya berkuat kuasa hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas meneliti dokumen yang dikemukakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan.

Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Pahang Azmi Ibrahim berkata, bagaimanapun perintah yang diberikan mahkamah itu berjalan selama sebulan sebelum hak penjagaan secara tetap diberikan kepada bapa kandung mangsa dan ibu tirinya yang menetap di daerah Melaka Tengah.

“œTempoh sebulan itu juga membolehkan JKM melakukan siasatan sama ada bapa kandung mangsa benar-benar sesuai dan kukuh dari pelbagai aspek untuk menjaga kanak-kanak itu.

“Selepas tamat tempoh penjagaan selama sebulan, JKM akan kemukakan semula kepada mahkamah sama ada mangsa sesuai untuk dijaga bapa kandungnya atau sebaliknya,” katanya hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, kanak-kanak berkenaan ditemui di dalam sebuah rumah di Indera Mahkota 1, di Kuantan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota polis yang menyelamatkannya selepas dirantai pada tong gas seberat 25 kilogram.

Ekoran kejadian itu, bapa tiri mangsa yang juga anggota tentera di Kem Batu 10 Jalan Gambang, Kuantan ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

Azmi berkata, ketika keputusan dibacakan mahkamah mangsa yang turut bersama pegawai pelindung JKM Kuantan melahirkan rasa gembira yang mana sebelum ini dia menyatakan hasrat untuk tinggal bersama bapa kandungnya.

Katanya, JKM Kuantan akan memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan bagi menguruskan urusan persekolahan mangsa.

Berita berkaitan:

Keadaan tiga beradik lain disiasat

Ingin jumpa bapa kandung

Tergamaknya ibu...

Nak mendidik atau menyeksa?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 1:05 PM