Abu Bakar Al Sidek


Teluk lntan: Kira-kira 20 nelayan darat mengeluh serta bimbang berikutan hasil pendapatan menangkap ikan dan udang galah di Sungai Sungkai Mati, Batu Tujuh, Jalan Changkat Jong dekat sini, berkurangan sejak 20 tahun lalu.

Nelayan sekitar daerah berkenaan mendakwa, hasil ikan dan udang galah semakin kurang berikutan keadaan Sungai Sungkai Mati Batu Tujuh tercemar akibat sisa air toksik dari kilang sawit yang dibuang ke dalam sungai berkenaan.

Nelayan darat, Herwen Azizan, 32, berkata, terdapat dua kilang sawit dan sebuah kilang memperoses sarung tangan membuang sisa dan bahan toksik ke dalam sungai setiap hari menyebabkan air sungai yang jernih bertukar warnanya.

“Hasil tangkapan semakin berkurangan purata nelayan memperoleh pendapatan antara RM20 hingga RM40 sehari, nelayan turun ke sungai hanya 15 hari setiap bulan dengan pendapatan antara RM100 hingga RM200 sebulan.

“Akibat pendapatan yang tidak tetap, nelayan yang mempunyai ramai tanggungan terpaksa pergi menangkap ikan di Sungai Perak dan Sungai Bidor bagi menambah pendapatan,” katanya.

Ayob Hassan, 63, pula berkata, suatu ketika dahulu dia pernah memperoleh pendapatan sekitar RM200 hingga RM400 sehari namun berikutan keadaan sungai yang tercemar menyebabkan pendapatannya tidak menentu dan hasil ikan seperti baung, keli, lampan serta udang galah makin berkurangan.

“Ada antara nelayan darat termasuk saya sendiri terpaksa mencari jalan lain termasuk menangkap ikan di Sungai Perak untuk menampung pendapatan,” kata bapa kepada empat anak dan sembilan cucu yang masih aktif turun ke sungai sekalipun usia sudah lanjut.

Katanya, dia berharap masalah pencemaran Sungai Sungkai Mati dapat diberi perhatian serius oleh wakil rakyat dan pihak berkaitan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Datuk Mohd Azhar Jamaluddin ketika ditemui memberi jaminan mengemukakan rintihan nelayan darat berkenaan kepada kerajaan negeri.

Katanya, dia akan membawa perkara berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang bulan depan.

Selain mengadakan perbincangan di peringkat daerah dengan agensi kerajaan bagi menangani masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 7:07 AM