Ahmad Ismail

SEGAMAT: Lebih 200 nelayan berharap pihak berkuasa menggandakan pemantauan di beberapa sungai bagi memastikan pelbagai hidupan terutama udang galah tidak pupus akibat ditangkap atau pencemaran sungai.

Nelayan yang juga penduduk Sungai Tekam, Salleh Mohd Rosdi, 48, berkata, satu ketika dahulu daerah ini terkenal sebagai lokasi udang galah besar, namun ketika ini saiznya jauh lebih kecil.

“Saya sudah menangkap ikan dan udang galah di sekitar Sungai Tekam sejak lebih 20 tahun lalu dan mendapati udang galah gred A semakin mengecil setiap tahun.

“Selain itu, melihat jeti pendaratan nelayan Sungai Tekam kita boleh mengetahui hasil tangkapan nelayan seperti ikan belida, lais dan baung semakin susut dan tidak banyak berbanding 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Sungai Tekam di sini, semalam.

Menurut Salleh, sebagai nelayan pihaknya menghargai usaha beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Perikanan Daerah Segamat melepaskan ribuan benih udang galah dan ikan air tawar, tetapi beberapa usaha perlu dilakukan bagi memastikannya berjaya.

Salleh berkata, pihak berkuasa perlu menggandakan pemantauan dan menyelesaikan beberapa kes meracun sungai terutama di Sungai Tekam, Sungai Segamat dan Sungai Buluh Kasap.

Katanya, ini kerana ada beberapa nelayan atau kaki pancing sengaja menggunakan tuba sedangkan ianya boleh menyebabkan hidupan air termasuk udang galah pupus.

“Ada juga ‘kaki sungai’ dari luar Segamat menggunakan mata jaring bersaiz kecil menyebabkan anak udang galah terperangkap selain turut menangkap anak ikan baung dan belida.

“Perbezaan saiz tangkapan udang galah sebelum ini, tiga atau empat udang galah gred A seberat satu kilogram namun ketika ini memerlukan enam atau tujuh ekor untuk mendapat berat sama dan dijual dengan harga RM80 hingga RM90.

“Manakala udang galah gred B dijual pada harga RM60 sekilogram. Ketika ini, musim udang galah hanya bertahan selama 14 hari berbanding sehingga beberapa bulan sebelum ini,” katanya.

Katanya, keadaan itu menjejaskan pendapatan nelayan dan pemilik bot yang memberikan perkhidmatan kepada kaki pancing.

Berikutan itu, katanya, penduduk terutama nelayan merayu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelak udang galah terus berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 9:12 AM