DR Feng melakukan kolonskopi pada diri sendiri untuk memahami keperluan pesakit. FOTO Agensi
DR Feng melakukan kolonskopi pada diri sendiri untuk memahami keperluan pesakit. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Semata-mata mahu turut merasai dan memahami apa dilalui pesakitnya, seorang pakar proktologi melakukan prosedur kolonskopi terhadap dirinya sendiri.

Dr Feng Zhuo, penolong pengarah di Jabatan Proktologi di sebuah hospital di Shanghai memilih melakukan prosedur selama 15 minit itu terhadap dirinya sendiri kerana menyedari ia antara pengalaman paling tidak selesa malah menyakitkan boleh dilalui seseorang.

Walaupun pesakit dibius untuk mengurangkan kesakitan, prosedur itu memerlukan peralatan yang fleksibel dengan diameter sebesar jari telunjuk dimasukkan ke dalam dubur sebelum ‘menjelajah’ di dalam usus besar pesakit.

Namun ia amat penting untuk segelintir pesakit bagi mengesan penyakit usus termasuk kanser kolon.

Ia bukan sesuatu yang lazimnya sengaja akan dilakukan, namun Dr Zhuo pada 31 Ogos lalu memilih menjadi ‘pesakit’ sendiri untuk merasakan pengalaman itu.

“Saya mahu memperbaiki kepakaran dan kaedah supaya prosedur yang kurang menyenangkan ini dapat dijalankan dalam keadaan yang lebih selesa untuk pesakit.

“Saya berfikir panjang sebelum melakukannya, tetapi akhirnya memutuskan untuk meneruskan demi pesakit saya,” katanya.

Dia turut menaikkan nota serta butiran terperinci sepanjang proses itu di WeChat dan menegaskan prosedur berkenaan mesti dilakukan dengan penuh kelembutan selain mencadangkan julap yang lebih sedap diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:44 AM