OPTIMIS dengan apa dilakukan dan tiada istilah dengki dalam kamus hidup.
OPTIMIS dengan apa dilakukan dan tiada istilah dengki dalam kamus hidup.
Sudirman Mohd Tahir

Cantik, bijak dan berbakat. Ini gambaran paling tepat bagi menggambarkan personaliti dimiliki pelakon popular Mira Filzah.

Sejak awal kemunculannya, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, sudah menunjukkan aura seorang bintang.

Namun, dalam pada dia meniti populariti sebagai pelakon dan pengacara, siapa sangka ada pihak kurang senang dengan kejayaannya.

Namun, Mira yang popular menerusi drama Cinta Si Wedding Planner ini enggan ambil pusing kerana berasakan dia tidak pernah mengganggu periuk nasi orang.

“Sesiapa yang mengenali saya pasti tahu saya tidak banyak kawan. Jadi, tidak ada sebab untuk pihak tertentu berasa kurang senang atau tercabar dengan saya. Apa yang saya buat selama ini adalah untuk diri sendiri, kerjaya dan keluarga.

“Pada usia muda ini saya ingin rebut peluang yang ada untuk jaminan masa depan. Lagipun, setiap apa dilakukan tidak ada kaitan dengan sesiapa. Malah, jauh sekali saya nak mengganggu pihak lain.

“Saya percaya setiap individu itu diberikan rezeki masing-masing. Sekiranya tidak ada rezeki di situ, saya cari peluang lain. Kerjaya sebagai anak seni tidak boleh mengharap kepada satu perkara saja. Oleh itu, saya sentiasa mencari peluang,” katanya.

Mira yang kini muncul dalam drama Meh Sandar Lagi yang bersiaran di slot Akasia TV3 berkata, dia sentiasa berusaha dengan tulang empat keratnya.

Mira juga sentiasa optimis dengan apa dilakukan. Dalam kamus hidupnya tidak ada istilah dengki atau cemburu dengan kejayaan orang lain.

“Saya malas nak ambil tahu. Apa yang penting saya tahu apa dilakukan,” katanya.

Percaya Aliff Aziz

Berkongsi mengenai drama baru itu, Mira yang berlakon dengan artis kontroversi Aliff Aziz mengakui selesa berlakon dengan lelaki tinggi lampai itu.

Mira berkata, sepanjang mereka berlakon bersama, Aliff menunjukkan disiplin baik seperti Aliff yang dikenalinya setahun lalu.

“Sebenarnya 80 peratus drama ini terpaksa dilakukan semula ekoran kesilapan teknikal. Jadi penggambaran dibuat selepas Aliff menghabiskan projek sedia ada. Kebetulan ketika itu timbul konroversi membabitkan dirinya.

“Memandangkan sudah mengenali Aliff dan isterinya tahun lalu ketika menjalani penggambaran drama Meh Sandar Pada Aku, jadi saya tidak perlu bimbang. Sepanjang kami menjalani penggambaran semula, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurut Mira, apa yang berlaku membabitkan Aliff, Bella dan Afifah, dia tidak mahu masuk campur.

Mira sebaliknya lebih bersikap profesional atas urusan kerja semata-mata. Tidak pernah sekali pun dia cuba untuk bersikap ambil peduli.

“Saya mengambil pendekatan tidak masuk campur. Cuma saya terkejut apabila terbaca kisah mereka. Sebagai kawan, saya hanya menghantar mesej berbentuk kata-kata semangat dan tidak lebih daripada itu.

“Saya okey bekerjasama dengan Aliff lagi. Tidak ada sebab untuk menolak sekiranya naskhah yang ditawarkan itu bersesuaian,” katanya.

Peraga pakaian di New York

Dalam kesibukan Mira merencana aktiviti seni, dia juga sedang mempersiapkan diri untuk muncul di pentas New York Modest Couture Fashion Week di New York, Amerika Syarikat pada 4 hingga 14 September ini.

Mira berkata, dia dipilih menjadi ‘muse’ bagi rekaan pereka tempatan iaitu Eja Shahril.

“Saya mendapat tawaran ini sejak dua bulan lalu. Sebelumnya saya tidak berani nak berkongsi kerana masih dalam tempoh perbincangan. Apabila semuanya sudah ada kepastian, baru saya boleh bercakap perkara ini.

“Jika ditanya perasaan saya sekarang, memang berdebar. Ini pengalaman pertama saya berada di sana apatah lagi mewakili nama pereka lain. Saya gembira dan bangga kerana dipilih menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini,” katanya.

Sekembalinya dari negara Uncle Sam itu, Mira bakal menjalani pembedahan lasik bagi mengubati masalah rabun yang dialami.

“Kuasa kaca mata saya lebih 400. Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kaca mata terutama ketika berlakon. Jadi saya mengambil keputusan menjalani pembedahan ini di bawah Prof Dr Muhaya Mohamad. Selepas itu saya perlu berehat dalam tempoh seminggu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mira bakal terbabit dalam filem terbitan Red Com pada Oktober ini.

Dalam perniagaan pula, Mira baru melancarkan lapan jenis gincu menggunakan jenama Mora Cosmetics.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 5:57 AM