MIRA Filzah
MIRA Filzah

Kuala Lumpur: Menghitung hari melahirkan cahaya mata sulungnya, pelakon Mira Filzah, 29, mengakui proses kehamilan sebenarnya cukup mencabar.

Mira yang kerap membawa watak wanita hamil sebelum ini kerap terfikir bagaimana agaknya dia betul-betul hamil nanti. 

"Masa tengah aktif 'shooting' (penggambaran), hampir setiap drama perlu berlakon hamil seperti Rahsia Hati Perempuan, Lelaki Kiriman Tuhan, Pujaan Hati Kanda dan lain-lain.

"Selalu terfikir, macam manalah rupa mengandung sebenar nanti. Rupanya tak seindah lakonan. Nak angkat beg tangan pun rasa penat sudah.

"Apatah lagi waktu penggambaran'pregnant' (hamil) dulu. Beriya-iya angkat budak nak dekat 10 kg (kilogram) dalam babak. Tipu betul," katanya.

Mira turut berkongsi corak lakonan yang agak melucukan menerusi pengalaman jadi watak ibu hamil.

"Belum lagi bahagian berlakon tiba-tiba rasa nak terberanak, bahagian berlakon bersalin. Ada jerit-jerit panik! Akan saya pakai pengalaman sebenar nanti dalam lakonan okay," katanya.

Mira yang dijangka bersalin pada bulan ini turut mengambil kelas antenatal iaitu kelas ibu mengandung sebagai persediaan sebelum bersalin.

Pelakon terbabit mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 12:46 PM