Pemain TFC meraikan jaringan menentang PJ City  pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC meraikan jaringan menentang PJ City pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Sanjar Shaakhmedov muncul wira pasukannya apabila jaringan tunggalnya membantu TFC mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia bertemu Perak selepas menumpaskan Petaling Jaya (PJ) City 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebenar tadi.

Terdahulu perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam terpaksa bermula lewat hampir setengah jam kerana masalah garisan padang yang tidak jelas memaksa petugas bertungkus-lumus menyiapkannya.

Sebaik perlawanan bermula, TFC bermula garang dengan percubaan awal pada minit pertama menerusi tandukan penjaring terbanyak pasukan, Dominique Da Sylva hasil sepakan sudut kapten, Lee Tuck namun gagal menerjah gawang pelawat.

Selepas percubaan pertama itu, skuad Penyu terus mendominasi permainan tapi gagal memecah benteng pasukan The Phoenix yang kental bertahan begitu juga dengan skuad pelawat kendalian K Devan juga dilihat gagal memecah benteng pasukan tuan rumah sekali gus memperlihatkan bola banyak berlegar dalam kawasan tengah padang.

Pelawat yang sesekali menyerang memperoleh peluang keemasan pada minit ke-23 menerusi rembatan D Kugan dalam kotak penalti yang berjaya dinafikan penjaga gol muda TFC, Rahadiazli Rahalim.

LEE Tuck akan bersama Pahang musim depan. FOTO Ghazali Kori
LEE Tuck akan bersama Pahang musim depan. FOTO Ghazali Kori

Pada minit ke-25 pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Tuck hampir memecah kebuntuan gol menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang sedikit melepasi tiang gol sebelah kiri pelawat.

Usaha berterusan skuad bimbingan Nafuzi Zain akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh gol menerusi rembatan kencang pemain tengah, Shaakhmedov pada minit ke-36 untuk pasukannya mendahului 1-0.

Jaringan itu berpunca daripada kesilapan pertahanan, Kim Bong Jin yang gagal menolak bola kepada rakan dengan kemas sebelum pemain kelahiran Uzbekistan itu memintas untuk mendapatkan bola sebelum berjaya menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Dua minit berselang Da Sylva patut menyalahkan diri sendiri apabila terlepas peluang keemasan menjaringkan gol walaupun hanya berdepan dengan penjaga gawang lawan.

Pelawat yang berusaha menggandakan asakan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi tandukan ayam tambatannya, Washington Brandao tapi Rahadiazli sekali lagi muncul penyelamat apabila bijak menepis percubaan pemain kelahiran Brazil itu menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel tamat permainan dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 11:46 PM