AKSI Mayweather ketika menentang McGregor pada 2017. FOTO Agensi
AKSI Mayweather ketika menentang McGregor pada 2017. FOTO Agensi
Agensi

LEGENDA tinju, Floyd Mayweather tidak menolak kemungkinan berentap kali kedua dengan Conor McGregor tetapi menegaskan pertarungan itu tidak akan berlangsung di Octagon.

Petinju berusia 43 tahun itu menyangkal spekulasi dia akan bertukar acara sukan walaupun sebelum ini memberi bayangan mahu menyertai MMA.

Mayweather tidak beraksi secara profesional sejak 2017 selepas dia menewaskan Notorious pada pusingan kesepuluh dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu tampak mengalu-alukan pertarungan semula dengan juara dunia dua kategori UFC itu.

Bercakap kepada media sama ada dia sedia menentang McGregor, Mayweather berkata: "Buat masa sekarang saya gembira bersara. Anda tak pernah tahu tetapi ia perlulah berbaloi.

"Seperti dalam pertaruhan bukan? Tanpa mengira siapa pencabar anda."

Ketika ditanya sama ada dia sedia menentang McGregor atau Khabib Nurmagomedov di Octagon, Mayweather tampak kurang senang.

Dia berkata: "Tidak [Saya tidak berentap di MMA]. Saya fikir ia seperti pasukan yang menang mendapat kelebihan di tempat sendiri dalam aksi playoff. Anda tak perlu perbaiki apa yang tidak rosak dan rekod saya juga belum dapat diatasi."

Bekas juara lima kategori itu juga mendedahkan dia kini sedang dalam proses rundingan untuk kembali bertarung di Tokyo, Jepun. Venue sama yang menyaksikan dia mengaut £7 juta (RM38 juta) pada Disember 2018 selepas menewaskan jaguh kickboxer, Tenshin Nasukawa.

Tetapi dia enggan menamakan pencabarnya. Bagaimanapun menurut SunSport, bekas juara super-featherweigh WBA, Takashi Uchiyama sedia menyahut cabaran Mayweather.

Uchiyama, 40, menang 24 daripada 27 pertarungan sebelum bersara apabila tewas dua kali di tangan Jezreel Corrales pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 11:25 AM