Kajian terkini mendapati bahawa memanipulasikan komposisi mikrobiota dalam usus berpotensi mengelakkan berat badan berlebihan atau membantu mengurangkan berat badan seseorang.

Hari ini, 1 daripada 4 kanak-kanak sekolah di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 2015 mendapati 17.7% rakyat Malaysia adalah obes dan 30% daripadanya mempunyai berat badan berlebihan. Jika kadar ini berterusan, majoriti rakyat Malaysia mempunyai tubuh yang tidak sihat. Ini sekaligus membuatkan

mereka lebih mudah menghidap pelbagai penyakit tidak berjangkit yang kronik (contohnya penyakit koronari arteri, hati berlemak, kencing manis, buah pinggang kronik) dan mereka juga berisiko mendapat kanser saluran penghadaman dan pencernaan.

Kita semua sudah sedia maklum bahawa obesiti dan kencing manis merupakan faktor risiko untuk pelbagai jenis penyakit serta dipengaruhi oleh genetik dan persekitaran gaya hidup tertentu. Baru-baru ini, para penyelidik teruja dengan pengetahuan yang baru bahawa gen mikrobiota usus kita berpotensi memainkan peranan penting dalam proses obesiti seseorang. Pendedahan kepada pengetahuan baru ini berpotensi memberi jawapan kepada masalah epidemik obesiti yang kian melanda di seluruh dunia.

Mikrob untuk kesihatan kita?

Ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru kerana mikrobiota usus dan peranannya dalam kesihatan dan penyakit sudah banyak dikaji. Hasilnya, kita tahu bahawa mikrobiota usus terlibat secara langsung dalam metabolisma, nutrisi, fisiologi dan fungsi imunisasi tubuh. Ketidakseimbangan populasi antara mikrobiota baik dan mikrobiota yang tidak baik, atau dipanggil ‘disbiosis’, pula dikaitkan dengan pelbagai masalah sistem penghadaman dan pencernaan seperti radang usus (inflammatory bowel disease – IBD), sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome – IBS), malah kanser saluran penghadaman dan pencernaan khususnya kanser kolorektal.

Menurut Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, mikrobiota usus kita mempunyai hubungan yang rapat dengan sistem biologi tubuh dan ia menghasilkan hubungan simbiotik yang boleh memberi banyak manfaat kepada kita. Dr Raja Affendi, yang merupakan Pakar Perunding Perubatan Gastroenterologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan

Malaysia (PPUKM), juga sedang melakukan kajian untuk melihat kesan meminum minuman susu berkultur berasaskan laktobasilus terhadap pesakit yang menghidap sindrom usus rengsa dengan sembelit sebagai simptom utama.

Hubungkait mikrobiota usus dengan penambahan berat badan

Faktor seperti melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan caesarean, meminum susu ibu, pengenalan awal kepada makanan pejal, penggunaan antibiotik yang keterlaluan dan gaya hidup tertentu boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada komposisi bakteria baik dan tidak baik di dalam saluran penghadaman dan pencernaan kita.

Dr Raja Affendi menerangkan, tabiat pemakanan yang tidak baik, kurang senaman, tahap tekanan atau stres yang tinggi dan pencemaran alam semuanya berpotensi menyebabkan ekosistem usus kita menjadi tidak seimbang dan sekaligus terdedah kepada banyak penyakit yang melibatkan sistem penghadaman dan percernaan.

Banyak kajian mendapati ketidakseimbangan mikrobiota usus merupakan antara faktor utama penambahan berat badan. Hubungkait di antara mikrob dan obesity telah dibuktikan dalam satu kajian melibatkan haiwan yang menjadi penanda aras kepada kajian lain seumpamanya, Backhed et. al. mendapati bahawa tikus bebas bakteria kurang 42% jumlah lemak dalam badan berbanding tikus normal walaupun tikus bebas bakteria berkenaan memakan 29% lebih makanan. Tambahan lagi, kajian itu mendapati dengan memindahkan mikrob dari usus tikus normal ke dalam tikus bebas bakteria, tikus bebas bakteria itu merekodkan peningkatan berat badan yang ketara walaupun kadar pemakanan sama sepanjang eksperimen.

Penemuan ini menunjukkan bahawa kehadiran mikrobiota usus mampu meningkatkan kadar penyerapan tenaga daripada makanan yang dimakan dan menggalakan pengumpulan lemak. Kajian lain yang dijalankan juga menghasilkan kesimpulan yang sama. Bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi memindahkan hasil kajian ke atas haiwan ini kepada kajian yang melibatkan manusia. Ini sejajar hasrat Menteri Pendidikan Dato’ Seri Idris Jusoh, yang mahukan lebih banyak kajian peralihan dilakukan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Bakteria dikatakan mampu menggalakkan penambahan berat badan dengan cara mencetuskan ekspresi gen yang mengawal selia lemak dan metabolism badan. Pengekspresian gen-gen ini dalam keadaan normal tidak akan menyebabkan masalah. Bagaimanapun, jika mikrobiota jenis obes ini menjadi dominan dalam usus, ia boleh menyebabkan banyak tenaga diserap daripada pemakanan kita lantas menjadikan kita “gemuk”. Mikrobiota jenis obes ini juga berkemungkinan menggalakkan obesiti dengan cara mencetuskan tindak balas sistemik, mengawal perjalanan makanan melalui usus serta mempengaruhi tahap kelaparan kita.

Bakteria usus: jurulatih “dalaman” mengawal berat badan anda

Rawatan menggunakan probiotik (atau bakteria bermanfaat dalam usus) mungkin mampu menjadi asas kepada merawat pelbagai jenis penyakit termasuklah obesiti dan kencing manis. Kajian di peringkat pra-klinikal menunjukan bahawa kesan “anti-obesiti” yang dipunyai oleh probiotik adalah berpunca daripada kajian ke atas probiotik dari genus laktobasilus.

Dalam satu kajian, tikus bebas bakteria didedahkan kepada mikrobiota yang diambil dari bayi manusia. Tikus itu juga diberi makan sama ada L. paracasei, L. rhamnosus, atau plasebo. Berbanding dengan plasebo, probiotik dilihat membantu menguraikan dan menyimpan lemak untuk tenaga, mengurangkan kadar kolesterol dan merangsang metabolisma gula. Sementara itu, penyelidik mendapati gabungan L. curvatus dan L. plantarum pula berkesan menghalang pertambahan berat badan dan mengurangkan berat tisu lemak dalam tikus yang diberi makan diet yang tinggi kandungan lemak serta kolesterol selama 9 minggu.

Tambahan lagi, kajian yang menggunakan yogurt tradisional dari India yang dicampurkan dengan probiotik dari strain L. acidophilus dan L. casei menunjukkan ia mampu mengurangkan kadar gula dalam darah dalam tikus yang menghidap kencing manis. Kajian lebih terkini yang dilakukan menggunakan kaedah ‘doubleblind, randomized’ dan ‘placebo-controlled trial’ menunjukkan penambahan bakteria L. gasseri ke dalam susu berkultur yang diberi kepada orang dewasa selama 12 minggu berturut-turut berjaya mengurangkan lemak pinggang mereka dengan ketara.

Kekuatan melalui kepelbagaian

Mikrobiota usus berpotensi untuk digunakan sebagai rawatan dalam mengatasi obesiti. Probiotik pula dilihat sebagai pilihan dalam menambahkan jumlah bakteria baik dalam usus yang berkemungkinan mampu menjadi penggalak penurunan berat badan. Probiotik semakin mendapat tempat dalam

kajian yang dilakukan kerana ia selamat, tiada kesan sampingan yang memudaratkan, amnya mudah diterima dan amat sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang.

Sumber probiotik, antara lain, termasuklah yogurt, jeruk kobis, kimchi, sup miso, tempeh dan minuman susu berkultur. Makanan berasaskan probiotik mengandungi pelbagai jenis bakteria berbeza yang mempunyai kebaikan tersendiri khusus kepada spesis atau strain bakteria tersebut.

Walaupun memperkenalkan usus anda kepada probiotik yang mampu mencetuskan pengurangan berat badan boleh membantu, memastikan usus anda mengandungi kepelbagaian bakteria yang berbeza adalah lebih penting. Badan kita dihuni oleh lebih 1,000 jenis spesis bakteria dan kita baharu sahaja mengkaji segelintir daripadanya. Setiap spesis mungkin memainan peranan untuk fungsi yang belum lagi kita ketahui.

Walau apapun, Dr Raja Affendi menekankan bahawa, gaya hidup yang sihat masih lagi pilihan terbaik bagi mengawal berat badan. Diet yang seimbang memastikan badan anda menerima jumlah karbohidrat tak tercerna, atau prebiotik, yang optimum agar dapat digunakan oleh bakteria baik sebagai sumber makanan. Beliau menambah, metabolisma makanan ini oleh bakteria juga menghasilkan vitamin dan nutrien untuk badan kita. Makan secara seimbang, bersenam dengan kerap dan mengelakkan tabiat gaya hidup yang buruk seperti merokok bukan sahaja akan membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan menyeimbangkan mikrobiota usus tapi juga mengurangkan kebarangkalian menghidap penyakit berkaitan system penghadaman dan pencernaan serta meningkatkan kualiti kesihatan dan kehidupan secara amnya.

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali merupakan Pakar Perunding Gastroenterologi & Hepatologi.Penulis tiada kaitan dengan dan tidak menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-5632 3301. Artikelini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 6:47 AM