VAPE mempunyai kesan kesihatan dan tidak 100 peratus selamat.
VAPE mempunyai kesan kesihatan dan tidak 100 peratus selamat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEMEMANGNYA vape dikaitkan sebagai penyebab masalah kesihatan dan 'penggalak' individu terus menagih ketagihan nikotin.

Bagaimanapun, daripada aspek lain, vape boleh menjadi satu daripada sumber pendapatan negara melalui cukai yang dikenakan sekiranya penjualannya dipantau kerajaan.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menggunakan semula hasil cukai itu untuk mengadakan program antitembakau atau antinikotin.

Katanya, beliau bersetuju hasrat kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi vape yang mengandungi nikotin, tetapi perlu memastikan cukai dikenakan tidak terlalu tinggi.

"Ini kerana jika cukai terlalu tinggi akan menyebabkan pengguna tidak mampu beralih ke vape, malah beralih kepada rokok tradisional yang lebih berbahaya dan memudaratkan perokok.

"Ini hanya boleh berlaku jika cecair e-jus dipantau kualiti dan dos kepekatan nikotinnya.

"Adalah lebih membimbangkan sekiranya perokok sedia ada, beralih menghisap rokok tembakau, malah rokok yang dijual secara haram yang sangat berleluasa kerana rokok haram adalah jauh lebih murah sekarang,"katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, hasil daripada cukai yang tidak dikumpul melalui penjualan tembakau secara haram mencecah RM15 bilion daripada 2018 hingga 2020 dan cukai hilang itu merugikan negara.

"Kita kena pastikan perokok dan penghisap vape tidak membeli rokok serta cecair vape yang dijual secara haram.

"Ini adalah faktor penyebab mengapa wabak EVALI berlaku di Amerika Syarikat, pada 2020 dan mengakibatkan hampir 68 kematian penghisap vape dan kecederaan paru-paru yang meluas.

"Bagaimanapun, penjualan vape perlu dipantau supaya tiada vape tidak berkualiti dijual di negara ini dan dos kepekatan (pelabelan nikotin) dijelaskan dengan terang,"katanya.

Beliau berkata, proses penyediaan cecair vape tidak berkualiti agak mudah disediakan yang tercemar dengan mikroorganisma dengan bahan yang tidak dapat dipastikan. Ini menggalakkan lambakan cecair vape tidak mencapai piawaian kualiti baik.

"Ini adalah perbezaan antara vape Malaysia dan United Kingdom (UK), Jepun dan New Zealand. Contoh di UK, 'Medicines and Healthcare Products Regulatory Agency' (MHRA) memantau kualiti e-jus dan menguatkuasakan bahagian enam daripada regulasi Tembakau dan Produk berkaitan (Tobacco and Related Products Regulations 2016).

"Berbeza dengan negara maju yang mempunyai makmal khas untuk memantau kualiti cecair vape.

"Ini menyebabkan kualiti cecair vape yang dijual di negara ini (negara maju), boleh dilihat sebagai 'berkualiti baik', mematuhi dos sesuai dan terdapat label kepekatan nikotin sangat jelas,"katanya.

Katanya, ini dapat mengelakkan pengguna keliru mengenai nikotin yang mereka hisap daripada vape.

"Kita kena faham bahawa setiap individu perokok tegar mempunyai dos kepekatan nikotin yang mereka sudah biasa.

"Sekiranya mereka mengambil dos nikotin yang sangat rendah, ini menyebabkan ketagihan mereka tidak dapat dirawat dan meneruskan rokok tembakau.

"Sebaliknya, jika mengambil dos nikotin terlalu tinggi boleh mengakibatkan keracunan nikotin dan memberi kesan sampingan lebih teruk,"katanya.

Dr Sharifa Ezat secara tegas menyatakan, vape adalah sesuatu yang tidak elok kepada remaja atau orang dewasa yang tidak merokok, jika mereka bukan terdiri daripada kalangan individu mempunyai masalah mengatasi isu ketagihan tembakau mereka.

Katanya, vape bukan untuk digunakan secara santai oleh remaja atau wanita yang tidak mempunyai masalah ketagihan nikotin yang teruk.

"Dalam kes tertentu seperti di negara maju, vape digunakan sebagai salah satu terapi untuk berhenti merokok, selain terapi menghentikan ketagihan gam dan sebagainya.

"Terapi ini juga digunakan oleh mereka yang tidak mendapat kepuasan atau kurang patuh dengan terapi berhenti merokok biasa.

"Antara isu vape ialah ia memberi kesan kesihatan terutama kepada mereka yang mempunyai masalah asma dan berkaitan pernafasan.

"Maka, vape ini boleh digunakan oleh individu tertentu dalam dos kepekatan nikotin tertentu. Ini untuk menghilangkan ketagihan yang teruk daripada tembakau rokok biasa dan tidak respons dengan cara merawat ketagihan cara biasa melalui terapi gantian nikotin (NRT).

"Umumnya, diakui vape mempunyai kesan kesihatan dan tidak 100 peratus selamat, tetapi kesan kesihatan adalah jauh lebih rendah, berbanding rokok tembakau tradisional mengandungi tar, asap dan bahan kimia lain yang berbahaya"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 6:55 AM