FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia disaran mewujudkan peraturan sesuai mengawal penggunaan vape seperti di kebanyakan negara lain sebagai alternatif mengurangkan kesan ketagihan rokok tradisional.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, vape dan aerosolnya mengandungi kimia dan nikotin yang jika disedut boleh merangsang otak, jantung dan menyebabkan ketagihan sama seperti rokok tembakau dan kesan sistemik badan.

Namun katanya, kesan berkenaan kurang, berbanding rokok tembakau biasa kerana tiada tar dan karbon monoksid yang bersifat karsinogenik.

"Bahan bahaya yang terkandung dalam cecair vape antaranya ialah formaldehyde, acetaldehyde dan acrolein.

"Tanpa regulasi sesuai, pengguna vape boleh mendapatkan nikotin cecair dengan kepekatan terlalu tinggi, menyebabkan ketagihan akut dan kesan sistemik yang lebih teruk malah, mereka boleh mencampurkan cecair vape mereka dengan dadah kanabis tetrahydrocannabinol (THC) atau bahan lain yang merbahaya," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kajian kumpulan advokasi pengguna vape tempatan, Malaysian Vapers Alliance (MVA) yang mendapati 84 peratus penggunaan vape adalah alternatif kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional.

Beliau berkata, memang terbukti beberapa kajian menunjukkan merokok menggunakan tembakau lebih bahaya daripada vape.

"Negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand mengawal penggunaan vape bagi menurunkan kesan ketagihan rokok tradisional dalam kalangan perokok tegar antaranya dengan mengehadkan jumlah pengambilan nikotin dan dikawal kualiti dengan ketat.

"Jadi, Malaysia juga perlu melaksanakan kaedah sama dengan memastikan vape memerlukan preskripsi dan dilabel sebagai ubat jika terkandung nikotin.

"Tanpa kawalan, vape menjadikan mereka pengguna 'dual users' bahan ini iaitu rokok dan vape dan kedua dua ini akan menggandakan kesan negatif nikotin kerana selalunya pengguna rokok tegar sudah ada kerosakan paru-paru akibat rokok dan kemudian cuba berhenti menggunakan vape pula (switching) dan selalu tidak berjaya," katanya.

Bagaimanapun langkah terbaik katanya, orang ramai tidak merokok atau menggunakan vape langsung.

"Saya menyambut baik rancangan memperkenalkan undang-undang melarang rokok dan vape bagi mereka yang lahir selepas tahun 2005.

"Namun, untuk perokok tegar sedia ada ini, perlu ada satu kaedah untuk membantu golongan ini mungkin seperti dapatkan rawatan sesuai merangkumi terapi gantian nikotin, mendapatkan sokongan tingkah laku dan kerajaan perlu menyokong pengharaman jualan rokok tidak bercukai sedia ada.

"Ini kerana pembelian vape tidak terkawal boleh membahayakan diri hasil dari wujudnya bahan-bahan kimia, walaupun tanpa nikotin yang berupaya memudaratkan kesihatan paru-paru," katanya.

Kaji selidik dijalankan MVA ke atas 1,000 pengguna vape selama seminggu baru-baru ini turut mendedahkan, 90 peratus pengguna vape berpendapat mana-mana peraturan yang dibangunkan untuk vape mestilah berbeza daripada rokok tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:15 PM